KUALA LUMPUR 10 Mei - EA Technique (M) Bhd. memeterai perjanjian untuk menjual kapal tangki minyak/kimia, Nautica Renggam (NRG) kepada firma perkapalan Korea Selatan, C&M Co. Ltd. dengan tunai berjumlah AS$5.05 juta (RM21.39 juta).
Ia menjangkakan urus niaga tersebut dijangka diselesaikan pada minggu keempat Mei 2022, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17) itu akan mengunakan hasil daripada jualan tersebut untuk
modal kerja dan bayaran yuran broker.
"Langkah ini adalah bagi melupuskan aset yang bukan menjana pendapatan dan mengumpul dana untuk tujuan modal kerja.
"Bagaimanapun, ia dijangka tidak menyumbang kepada tunai syarikat di bawah Keperluan Penyenaraian Papan Utama Bursa Malaysia Securities Bhd. kerana syarikat diklasifikasikan sebagai PN17 sejak 25 Februari 2022," katanya.
NRG adalah kapal tangki minyak/kimia yang dibeli pada 13 Mei 2016 dengan kos asal berjumlah RM18 juta (tidak termasuk kos baik pulih).
Nilai bersih NRG yang telah diaudit setakat 31 Disember 2021 ialah RM18.40 juta.
Menurut EA Technique, ia dianggarkan memberi keuntungan sebanyak RM1.13 juta daripada langkah pelupusan aset tersebut.
Setakat 3.11 petang ini, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 11.11% kepada 4 sen dengan 305,100 saham diniagakan. - DagangNews.com








