KUALA LUMPUR 16 Nov - Kenanga Research menyemak naik penarafan Dutch Lady Milk Industries Bhd. kepada 'market perform' daripada 'underperform' dengan harga sasaran juga dinaikkan kepada RM32.60 berbanding RM28.20 sesaham sebelum ini.
Ini berikutan kumpulan merekodkan prestasi kewangan yang memenuhi jangkaan firma bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022.
Bagi tempoh itu, keuntungan bersih kumpulan meningkat 4.04% kepada RM66.5 juta daripada RM64.54 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, apabila pendapatan meningkat kepada RM977.72 juta daripada RM833.16 juta.
Sejajar dengan semakan itu, firma itu menaikkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 16%, mencerminkan pendapatan lebih kukuh dan kenaikan anggaran 1% margin keuntungan kasar bagi FY23 ekoran harga bahan mentah yang semakin menurun.
"Kami menjangkakan jualan Dutch Lady akan kembali normal memandangkan pandemik semakin mencapai penghujungnya.
"Pada masa sama, Indeks Harga Perdagangan Tenusu Global yang menunjukkan trend penurunan sejak Jun 2022 kepada paras 2019, akan membantu meningkatkan marginnya bagi FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Dutch Lady catat perolehan Q3 sebanyak RM338 juta di sebalik ketidaktentuan global
Dutch Lady mencatatkan pendapatan RM338 juta pada suku ketiga, meningkat 16.2% daripada RM290.66 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan keuntungan bersih meningkat 19.74% kepada RM24.4 juta daripada RM20.38 juta.
Pengeluar tenusu terkemuka itu menyifatkan prestasi memberangsangkan itu disebabkan oleh permintaan yang berterusan untuk susu sebagai produk penting dan juga kenaikan harga sederhana yang diperlukan untuk mengimbangi kukuh 'angin kencang' inflasi.
Keuntungan operasi pula meningkat 9 peratus kepada RM32.1 juta tetapi kos untuk bahan tenusu mentah global meningkat dan hasil pertukaran asing negatif yang terhutang kepada ringgit yang semakin lemah menjejaskan keuntungan operasi kumpulan.
Secara keseluruhan, Kenanga Research menyukai saham Dutch Lady memandangkan pembukaan semula ekonomo akan memacu jualannya yang kukuh manakala harga komoditi makanan akan mengurangkan tekanan margin kumpulan.
"Selain itu, pendapatannya kukuh disokong permintaan bagi barangan makanan ruji di sebalik ketidaktentuan prospek ekonomi global.
"Bagaimanapun, keuntungan kumpulan masih tidak menentu ekoran ketidakupayannya melepaskan sepenuhnya kos input yang tinggi memandangkan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan B40," katanya.
Risiko kepada penarafan kumpulan bergantung kepada ketidaktentuan harga komoditi makanan dan kelemahan ringgit yang boleh menyebabkan kos input bahan mentah lebih tinggi.
Setakat 10.13 pagi ini, harga sahamnya menokok 20 sen atau 0.65% kepada RM31.20 dengan 1,900 saham diniagakan. - DagangNews.com








