Duopharma terima kelulusan kerajaan Indonesia menubuhkan anak syarikat PT DHI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Duopharma terima kelulusan kerajaan Indonesia menubuhkan anak syarikat PT DHI

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 April - Duopharma Biotech Berhad telah menerima kelulusan untuk menubuhkan anak syarikatnya, PT Duopharma Healthcare Indonesia (PT DHI) daripada Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia pada 11 April 2023.

 

Dalam satu makluman di Bursa Malaysia hari ini, Duopharma berkata tujuan dan objektif PT DHI adalah untuk terlibat dalam bidang perdagangan antara lain perdagangan borong ubat-ubatan tradisional untuk manusia (termasuk perniagaan borong ubat, ubat tradisional atau herba, dan suplemen kesihatan), serta pemborongan kosmetik (termasuk perniagaan perdagangan borong kosmetik seperti minyak wangi, sabun, bedak dan lain-lain).

 

“PT DHI merupakan syarikat liabiliti terhad dengan modal dibenarkan dan diterbitkan pada masa ini berjumlah Rp 10,001,000,000 (kira-kira RM2.97 juta) yang terdiri daripada 10,001 saham,” tambahnya.

 

Sementara itu, pemegang saham PT DHI adalah anak syarikat, Duopharma Consumer Healthcare Sdn Bhd dengan pegangan 99% saham, manakala baki 1% dipegang oleh Duopharma Biotech.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, “Penubuhan anak syarikat ini adalah bukti terhadap keyakinan Duopharma Biotech dalam potensi sektor farmaseutikal dan penjagaan kesihatan Indonesia.

 

Kami komited untuk mengukuhkan kerjasama dengan rakan kongsi Indonesia dan meneroka pelaburan strategik baharu dalam segmen yang paling menjanjikan,” tambahnya.

 

Duopharma merupakan syarikat farmaseutikal yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia yang mempunyai kecekapan dalam Pembuatan, Penyelidikan & Pembangunan dan Pengkomersilan dan Pemasaran lebih 300 ubat generik, produk Penjagaan Kesihatan Pengguna serta telah mempelbagaikan ruang biosimilars dengan kerjasama teknologi dan pengkomersilan dengan rakan kongsi antarabangsa yang boleh dipercayai dan kukuh.

 

Beribu pejabat di Kuala Lumpur, Malaysia, Duopharma memiliki dan mengendalikan tiga kilang pembuatan di Klang, Bangi dan Glenmarie, Selangor serta turut mempunyai anak syarikat di Indonesia, Filipina dan Singapura. -DagangNews.com