Duopharma Biotech tumpu aktiviti M&A pada 2023 raih peluang pertumbuhan - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Duopharma Biotech tumpu aktiviti M&A pada 2023 raih peluang pertumbuhan - RHB Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Jan - Duopharma Biotech Bhd. akan memberi tumpuan kepada langkah pengambilalihan dan penggabungan (M&A) pada 2023 memandangkan ia menyasarkan untuk mengembangkan bahagian pasaran dalam industri pembuatan ubat generik, demikian menurut RHB Research. 

 

Firma itu berkata, kumpulan menyaksikan sinergi yang positif daripada beberapa pelaburannya, antaranya memeterai perjanjian untuk mengedarkan rangkaian produk anti-rambut gugur (melalui pelaburan ke dalam SCM Lifescience).

 

Selain itu, pelaburannya dalam AZTherapies (AZT) akan memudahkan akses kemasukan kos rendah kepada pemasaran dan pembuatan produk baru untuk Alzheimer, kini menunggu keputusan percubaan menjelang suku keempat 2022/suku pertama 2023.

 

AZT menjangkakan untuk memulakan perbincangan dengan Pentadbiran Makanan & Ubat-ubatan Amerika Syarikat (AS) untuk mempercepatkan kelulusan dalam tempoh 12 bulan akan datang, selepas keputusan percubaan tersebut.

 

"Dalam pada itu, berikutan lanjutan kontrak konsesi bekalan perubatan baru-baru ini oleh Kementerian Kesihatan kepada Pharmaniaga Bhd., kami percaya lanjutan kontrak senarai pembelian produk (APPL) DBB yang diluluskan dengan kementerian boleh dimuktamadkan sebelum separuh pertama 2023.

 

"Kami berpendapat terdapat kemungkinan peralihan kontrak dan bukannya memuktamadkan perjanjian konsesi baharu. 

 

"Oleh itu, DBB akhirnya mungkin terpaksa menanggung kadar perolehan yang masih berdasarkan kadar dolar AS/ringgit sebanyak RM4.20, sejak kontrak itu dimeterai pada 2017," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Melihat kepada prospek positif Duopharma, RHB Research menyemak naik harga sasaran (TP) kepada RM1.88 daripada RM1.84 sen sesaham sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'. 

 

Sejajar dengan semakan TP itu, ia menaikkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) sebanyak 3%.

 

"Ini engambil kira potensi pengambilan untuk penambahan pesanan oleh pelanggan di tengah-tengah kebimbangan kekurangan ubat," jelasnya.

 

Setakat 10.41 pagi, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.6% kepada RM1.66 dengan 123,100 saham diniagakan. - DagangNews.com