KUALA LUMPUR 23 Feb - Duopharma Biotech Bhd. merekodkan pendapatan tertinggi setakat ini sebanyak RM696.72 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), meningkat 9% daripada RM638.18 juta bagi tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Bagi tempoh itu, untung bersihnya meningkat 6.74% kepada RM70.11 juta daripada RM65.68 juta, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Jualan yang lebih tinggi kepada pasaran farmaseutikal preskripsi dan sektor kesihatan awam telah mendorong kumpulan merekodkan pendapatan tertinggi dalam FY22.
Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, untung bersih kumpulan meningkat kepada RM17.16 juta daripada RM15.72 juta dengan pendapatan juga meningkat kepada RM151.96 juta daripada RM145.44 bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Duopharma Biotech baru-baru ini menjadi syarikat farmaseutikal pertama menerima pensijilan halal bagi produk onkologi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengarah Urusan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, penekanan berterusan kerajaan untuk menambah baik pembiayaan penjagaan kesihatan awam memberi petanda baik bagi kumpulan.
"Tambahan pula, dengan jangkaan pertumbuhan dalam ekonomi Malaysia pada 2023, menawarkan kumpulan kepada potensi peluang untuk berinovasi dan mengembangkan pasaran.
"Oleh itu, kami menjangkakan satu lagi tahun kewangan yang positif bagi FY23, tanpa sebarang keadaan tidak dijangka," katanya.
Pada masa sama, menurutnya, dengan lanjutan insentif elaun pelaburan semula khas di bawah pakej rangsangan Penjana, sehingga tahun taksiran 2024, kumpulan juga boleh menikmati potensi penjimatan sekitar RM10 juta apabila aset yang layak dimuktamadkan termasuk K3 menjelang 2024. - DagangNews.com








