DRB-Hicom, Geely meterai perjanjian usaha sama pacu pembangunan AHTV | DagangNews Skip to main content

DRB-Hicom, Geely meterai perjanjian usaha sama pacu pembangunan AHTV

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - DRB-Hicom Berhad dan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. (Geely) telah memeterai perjanjian usaha sama (JVA) bagi pembangunan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak hari ini.

 

Ini adalah berikutan pemeteraian perjanjian kerjasama utama pada Oktober 2023, yang telah menetapkan prinsip asas, rangka kerja tadbir urus dan komitmen bersama untuk projek AHTV.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, DRB-Hicom berkata perjanjian usaha sama itu menggariskan prinsip utama kerjasama strategik, penjajaran pada objektif dan syarat perkongsian. 

 

"Sebuah syarikat usaha sama akan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran DRB-Hicom dan Geely dalam mewujudkan AHTV sebagai hab kenderaan antarabangsa generasi seterusnya di Malaysia.

 

"AHTV akan merangkumi rumusan automotif dan mobiliti yang meluas merentasi rantaian nilai, daripada pusat penyelidikan dan pembangunan global berteknologi tinggi sepenuhnya, kepada pengeluar peralatan asli automotif bertaraf dunia dan kelompok pembuatan," tambahnya.

 

Di samping itu,DRB-Hicom berkata ia akan menyokong perkhidmatan ekosistem berkaitan, seperti logistik, latihan dan institusi pembelajaran dalam bandar pintar untuk industri automotif.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Syed Faisal Albar menandatangani perjanjian itu bagi DRB-Hicom, manakala Geely diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Li.

 

Perjanjian itu telah bertukar tangan sambil disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Geely, Eric Li. - DagangNews.com