Dr Mohamed Azahari dilantik sebagai penasihat korporat BidNow | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dr Mohamed Azahari dilantik sebagai penasihat korporat BidNow

Datuk Seri Dr Mohamed Azahari Kamil
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Jun - Salah satu platform teknologi lelongan terbesar di Malaysia, BidNow melantik Datuk Seri Dr Mohamed Azahari Kamil sebagai penasihat korporat yang baharu, berkuat kuasa serta merta. 

 

Pelantikan beliau dijangka memacu pertumbuhan syarikat dan mengembangkan lagi potensi besarnya untuk jualan lelongan yang mantap.

 

Dalam peranan baharunya, Dr Mohamed Azahari akan menyumbangkan banyak pengalamannya dalam dunia korporat untuk memudahkan pengembangan selanjutnya BidNow di peringkat domestik dan antarabangsa, serta memimpin syarikat itu ke peringkat pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO).

 

Dr Mohamed Azahari, sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance Bank Bhd dan Pengarah Urusan Kumpulan QSR Brands (M) Holdings Bhd (yang mengendalikan lebih 1,250 restoran KFC dan Pizza Hut), mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam beberapa industri seperti sebagai perkhidmatan kewangan, hartanah, makanan dan minuman (F&B), pendidikan dan banyak lagi. 

 

Beberapa organisasi swasta dan awam lain yang beliau pernah memegang jawatan pengurusan kanan sebelum ini termasuk KPJ Healthcare Bhd, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, Kumpulan Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Amanah Raya.

 

Beliau juga kini merupakan Pengarah Bukan Eksekutif di Aurelius Healthcare Sdn Bhd dan SEG International Bhd, serta Penasihat Korporat kepada Titijaya Land Bhd, Ni Hsin Group Bhd dan HCK Capital Group Bhd.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BidNow, Frankie Goh berkata, mereka sangat teruja kerana Dr Mohamed Azahari seorang pemimpin yang terbukti dalam dunia perniagaan, dengan menyertai mereka sebagai penasihat korporat baharu. 

 

Beliau berkata, reputasinya bersama dengan kepakaran pengetahuan yang mendalam dan relevan dengan apa yang mereka lakukan dalam ruang lelongan dan teknologi, memastikan BidNow akan dapat mengembangkan platformnya secara agresif secara serantau dan akhirnya menjadi platform pembidaan e-dagang sehenti terkemuka untuk jualan produk dan perkhidmatan.

 

"Dr Mohamed Azahari membawa rekod prestasi yang mantap dalam mengenal pasti strategi pertumbuhan utama dan berjaya meletakkan syarikat untuk berupaya melonjak ke peringkat syarikat permulaan berpertumbuhan tinggi, dan peneraju pasaran bernilai berbilion dolar. Kami tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengannya justeru membolehkan kami menterjemahkan kepintaran perniagaan peringkat tinggi kepada kepimpinan pasaran di rantau SEA yang menjadi langkah seterusnya kami," katanya. 

 

Kerjaya terbilang dan berjaya Dr Mohamed Azahari sebelum ini termasuk menambah aset yang dibiayai daripada berjuta-juta kepada berbilion ringgit, menyenaraikan Amanah Pelaburan Hartanah Kerajaan (Amanah Raya REIT) pertama dan beberapa syarikat sendirian berhad lain di Bursa Saham Kuala Lumpur, serta menyediakan perkhidmatan pengurusan aset kepada ratusan syarikat berkaitan kerajaan dan individu yang memiliki kekayaan besar, dengan pulangan pelaburan melebihi penanda aras pasaran. 

 

Dr Mohamed Azahari berkata, BidNow berada pada titik yang menarik dalam evolusinya.

 

“Terdapat lebih 200,000 ahli aktif dan 10,000 ejen pemasaran berdaftar di platform itu, dan mereka kini berkembang ke Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Filipina selain sudah berada di Malaysia dan Singapura. Prospek perniagaan mereka kelihatan sangat menjanjikan, dan saya gembira menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka sambil mereka maju ke tahap yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com