KUALA LUMPUR 2 Mac - Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menyarankan semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GILC) menubuhkan syarikat wakaf korporat bagi memperkasa aktiviti ekonomi, bisnes dan urus tadbir yang mantap serta efisien.
GLIC terbabit, termasuk Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Presiden DPIM, Mohammad Sahar Mat Din berkata, reformasi institusi diperlukan bagi mengatasi ketamakan dan kesombongan kelompok yang rakus, sama ada golongan politik atau swasta.
Katanya, ia juga bagi mengelakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berwibawa seperti Petronas, Sime Darby Bhd, Khazanah Nasional Bhd, Boustead Holdings Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Johor Corporation, Maybank, UEM Sunrise Bhd, TM dan Malaysia Airlines terlepas pegangan satu hari nanti.
"Pengalaman pahit dasar-dasar kerajaan sebelum ini berkaitan GLC, menuntut kita waspada dan segera bertindak berani melindungi aset strategik negara, termasuk saham-saham dan aset-aset milik warga Malaysia, daripada terlepas pegangan kepada golongan kelompok mahupun pihak asing.
"Komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf satu inisiatif yang sangat positif.
"DPIM ingin mencadangkan pembangunan wakaf tidak hanya tertumpu kepada pembangunan tanah wakaf sedia ada tetapi perlu melihat kepada penglibatan wakaf dalam membina perniagaan-perniagaan yang strategik seperti pengeluaran makanan halal, infrastruktur perumahan, kesihatan dan pendidikan," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, DPIM menyambut baik pengumuman Anwar yang berhasrat untuk melaksanakan inisiatif Wakaf Madani dalam Belanjawan 2023.
Mohammad Sahar berkata, DPIM bersedia membantu menyediakan khidmat kepakaran bagi membantu kerajaan bagi menjayakan gagasan Wakaf Madani.
Menurutnya, DPIM telah memulakan inisiatif melalui pelaksanaan wakaf korporat di beberapa peringkat.
"Sebahagian manfaat dari pelaburan syarikat wakaf korporat akan dikembalikan kepada masyarakat manakala sebahagian lagi akan dilaburkan semula bagi membina kelestarian dana wakaf untuk membina keadilan ekonomi sejagat yang saksama," katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa institusi wakaf korporat yang bersedia berkongsi idea dan kepakaran bagi membawa agenda wakaf korporat ke peringkat nasional.
"Institusi wakaf korporat sedia ada seperti AWQAF Holdings Bhd (ditubuhkan oleh DPIM), Waqaf An-Nur Corporation Bhd (ditubuhkan oleh JCorp) dan juga Wakaf Felda, mempunyai kombinasi jumlah nilai aset dan nilai pasaran melebihi RM1 bilion.
"Dengan pelaksanaan dua formula, Ekonomi Manusiawi dan wakaf korporat ini, DPIM yakin dan percaya bahawa ia merupakan formula utuh yang dapat melindungi bukan sahaja kepentingan anak bangsa, bahkan kepentingan seluruh generasi warganegara Malaysia di zaman mendatang," katanya.
Tambahnya, DPIM menyeru Perdana Menteri kepada satu formula yang lebih mantap dalam ikhtiar untuk membina semula negara dan menyuburkan harapan dalam sanubari rakyat majoriti terutamanya Melayu-Islam yang perlu digerakkan. - DagangNews.com








