DOSM: Sektor pembuatan catat pertumbuhan nilai jualan RM145.2 bilion pada Februari 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DOSM: Sektor pembuatan catat pertumbuhan nilai jualan RM145.2 bilion pada Februari 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 April - Nilai jualan sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.3% tahun ke tahun kepada RM145.2 bilion pada Februari 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut disokong pertumbuhan kukuh dalam subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (14.3%); produk makanan, minuman dan tembakau (14%) serta peralatan elektrik dan elektronik (10%).

 

“Bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan terus menyusut selama tiga bulan berturut-turut untuk mencatatkan negatif 1.9%,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang 71.1% daripada jumlah jualan mencatatkan pengembangan memberangsangkan sebanyak 10% pada Februari 2023 berbanding 6.9% yang dicatatkan pada Januari 2023, di samping peningkatan industri berorientasikan domestik kepada 11% berbanding 5.6% pada bulan sebelumnya.

 

Menurut beliau, berbanding Januari 2023, industri berorientasikan eksport kekal dalam trend menurun sejak Oktober 2022 dengan negatif 2.1%, manakala industri berorientasikan domestik susut 1.3% pada Februari 2023.

 

"Seramai 2.35 juta pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada Februari 2023, meningkat sebanyak 3.3% berbanding 2.28 juta orang tahun lalu, didorong terutamanya oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (5.6%); peralatan elektrik dan elektronik (4.4%); dan produk petroleum, kimia, getah & plastik (2.8%),” tambahnya.

 

 

dosm

 

 

Di samping itu, bilangan pekerja yang terlibat dalam ketiga-tiga subsektor ini merangkumi lebih separuh daripada jumlah keseluruhan dalam sektor pembuatan dan meningkat 0.3% berbanding bulan sebelumnya.

 

Selaras dengan peningkatan bilangan pekerja, peningkatan gaji dan upah dibayar dalam sektor pembuatan sebanyak 4.6 % tahun ke tahun berjumlah RM8.16 bilion pada Februari 2023.

 

Sementara itu, purata gaji dan upah bulanan bagi setiap pekerja mencatatkan peningkatan 1.3% berbanding setahun lalu dengan nilai RM3,474, manakala nilai jualan bagi setiap pekerja tumbuh sebanyak 6.8% kepada RM61,796.

 

Merumuskan prestasi untuk dua bulan pertama tahun ini, Mohd Uzir berkata, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 8.3% kepada RM293.2 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2022.

 

“Bilangan pekerja bertambah 3.3% untuk merekodkan seramai 2.35 juta orang dengan gaji dan upah meningkat 4.3% kepada RM16.3 bilion.

 

Selain itu, nilai jualan setiap pekerja mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.9%, berjumlah RM124,780,” ujar beliau. -DagangNews.com