Dokumentari Safee Sali “SEPULUH” - penghormatan kepada legenda bola sepak Malaysia | DagangNews Skip to main content

Dokumentari Safee Sali “SEPULUH” - penghormatan kepada legenda bola sepak Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Okt - Peminat sukan bola sepak negara dan pecinta wayang inilah masa yang dinanti-nantikan apabila dokumentari siri bertajuk SEPULUH mengisahkan legenda bola sepak negara, Safee Sali akan disiarkan di Astro Arena (Saluran 801) setiap hari Jumaat pada jam 9 malam bermula 24 November 2023 ini.



Enam siri dokumentari yang dihasilkan ini nanti akan membawa anda menyusuri  perjalanan suka duka, jatuh bangun yang ditempuhi Safee dalam kerjayanya sebagai pemain bola sepak selama hampir dua dekad.

 

Selain temubual bersama watak-watak yang memainkan peranan penting dalam kehidupan bekas bintang bola sepak ini terdapat juga rakaman dan detik-detik menarik yang tidak pernah dilihat dalam meneroka usahanya yang tidak henti untuk mencapai kejayaan. 

 

Mengulas mengenai dokumentari ini, Safee berkata, ini adalah bukti bahawa setiap kerja keras dan keazaman yang tinggi akan membuatkan segala impian menjadi kenyataan.

 

"Saya berharap kisah perjalanan kehidupan saya ini  akan menjadi satu cerita yang akan memberi inspirasi dan menambat hati semua orang bukan hanya untuk peminat sukan sahaja,” katanya.

 

 

Safee Sali
                                   Safee Sali

 

 

Penonton akan menyaksikan perjalanan awal Safee yang baru mula berkecimpung dalam arena bola sepak sehingga menjadi bintang dan diangkat sebagai ikon negara  termasuk perjuangannya membantu skuad Harimau Malaya memenangi kejuaraan tunggal di Piala AFF pada tahun 2010. 

 

Turut menambah kehangatan siri dokumentari ini apabila syarikat telekomunikasi, redONE tampil sebagai penaja utama dalam meningkatkan lagi mutu penerbitan dokumentari ini ketahap yang lebih tinggi.

 

 

Safee Sali

 



Ketua Pegawai Eksklusif redONE Network Sdn Bhd, Farid Yunus berkata, pihaknya berkongsi rasa teruja dan berbangga dengan kolaborasi yang terjalin dalam penghasilan dokumentari yang disifatkan bukan hanya sekadar kisah kejayaan Safee malah bukti kegigihan dan semangat kental rakyat Malaysia.



“Kami percaya melalui penceritaan sejarah perjalanan Safee yang menarik ini serta sokongan yang diberikan ini, kami telah berhasrat  untuk memberikan sumbangan keatas pencapainya yang gemilang dan penuh keazamanan yang jitu ini," katanya.



Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, Astro Arena sentiasa menyokong perjuangan dan mengikuti perjalanan bintang bola sepak ini sejak dari awal kariernya lagi dan pihaknya teruja menjadi saksi dan merakam detik-detik penting dalam sejarah kehidupannya.

 

"Tidak terhenti di situ sahaja, Safee turut diberi peluang untuk melebarkan sayapnya dalam dunia penyiaran sukan sebagai tetamu pakar bola sepak di Astro Arena,” katanya. - DagangNews.com