KUALA LUMPUR 30 Mei - CGS-CIMB Research menjangkakan Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) akan merekodkan prestasi suku keempat (Q4) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) yang lebih kukuh.
Firma itu berkata, ia akan didorong harga minyak mentah yang lebih tinggi yang akan memanfaatkan operasi Ping Petroleum Ltd. dan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd.
Ini mendorongnya menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22-FY24 antara 7 hingga 12% berikutan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan menerusi operasi kedua-dua anak syarikatnya itu.
"Kami turut menyemak naik unjuran harga minyak mentah bagi FY22-FY24 daripada AS$65 hingga AS$75 setong kepada AS$70 hiingga AS$85 setong.
"Selain itu, pertumbuhan jualan suku ke suku dan keuntungan bersih juga diunjur lebih kukuh pada suku keempat FY22, didorong harga minyak mentah yang lebih tinggi.
"Pada masa sama, kami turut menaikkan harga jualan purata (ASP) lapisan topeng (ML) daripada AS$22 hingga AS$25 kepada AS$23 hingga AS$25," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : SilTerra lonjak hasil DNeX kepada RM382.6 juta bagi suku ketiga
DNeX merekodkan pendapatan sebanyak RM382.6 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2022, disumbangkan terutamanya menerusi segmen teknologi baharu.
Ia menyaksikan SilTerra muncul penyumbang terbesar kepada segmen tersebut dengan pendapatan berjumlah RM232.1 juta, merangkumi 60.7% daripada jumlah hasil kumpulan.
Bagi perbandingan suku ke suku, pendapatan kumpulan meningkat 8.3% berbanding RM353.3 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2021 manakala untung selepas cukai (PAT) meningkat 19.9% kepada RM77.8 juta daripada RM64.9 juta.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' terhadap DNeX dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM1.70 daripada RM1.60 sebelum ini.
Firma itu melihat peluang kerjasama DNeX dengan Foxconn yang terjalin baru-baru ini sebagai peluang yang menarik untuk membolehkan kumpulan mengembangkan perniagaannya dan menyertai pelan integrasi Foxconn.
"Secara dasarnya, masih terlalu awal untuk meramalkan sebarang potensi hasil dan pendapatan pada ketika ini, tetapi kami menganggarkan apabila ia beroperasi sepenuhnya, kemudahan fabrikasi baharu itu mungkin mempunyai potensi menjana hasil yang lebih tinggi daripada SilTerra.
"Ini didorong kapasiti pengeluaran wafer setiap bulan yang lebih tinggi sebanyak 40,000 (berbanding SilTerra, 36,000 hingga 37,000 sebulan) dan ASP yang lebih tinggi bagi teknologi nod baharu," jelasnya.
Setakat 12.29 tengah hari ini, harga sahamnya susut 1.5 sen atau 1.49% kepada 99.5 sen dengan 23.18 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








