KUALA LUMPUR 21 Feb - CGS-CIMB Research menyemak turun harga sasaran Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) kepada 90 sen daripada RM1 sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'tambah' terhadap penarafan sahamnya selepas kumpulan itu melaporkan prestasi kewangan suku kedua jauh di bawah jangkaan firma.
Bagi tempoh berakhir 31 Disember 2022 itu, untung bersih DNeX susut 27.26% kepada RM31.88 juta daripada RM43.83 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya disebabkan hasil segmen teknologi yang lebih rendah dan keuntungan kadar tukaran asing yang lebih tinggi pada suku berkenaan.
Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 6.45% kepada RM330.53 juta daripada RM353.31 juta dipengaruhi penghantaran wafer yang lebih rendah dalam segmen teknologi.
Pada suku berkenaan, kapasiti penggunaan SilTerra jatuh di bawah 35%, tetapi diimbangi dengan volum pengeluaran yang lebih tinggi di Ping Petroleum.
Secara purata, volum pengeluaran harian Ping meningkat daripada 1,200 tong minyak sehari (bopd) pada suku pertama kepada 2,700 bopd pada suku kedua.
Untuk tempoh kumulatif enam bulan berakhir 31 Disember 2022, untung bersihnya merosot kepada RM73.61 juta daripada RM337.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, sebaliknya pendapatan kepada RM750.11 juta daripada RM624.18 juta.
Dalam nota kajian hari ini, CGS-CIMB berkata, kumpulan menjangkakan volum muatan SilTerra akan meningkat pada suku ketiga dipacu pemulihan permintaan secara beransur-ansur dan komitmen volum penghantaran daripada perjanjian jangka panjang (LTA) dengan pelanggannya.
SilTerra baru-baru ini memeterai perjanjian LTA keempatnya dengan pelanggan sains hayat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), yang merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk mengembangkan pendedahannya dalam teknologi baharu muncul, menawarkan harga jualan purata yang lebih tinggi (berbanding platform teknologi semasa).
Menurut firma itu, pengurusan kumpulan juga sedang menilai impak terhadap operasi Ping Petroleum berikutan keputusan kerajaan United Kingdom (UK) melaksanakan Akta Levi Keuntungan Tenaga (EPL).
Di bawah akta itu, syarikat minyak dan gas yang beroperasi di North Sea perlu membayar levi sebanyak 35% daripada keuntungan mulai Januari 2023 sehingga Mac 2028. Ia juga merupakan tambahan cukai daripada cukai korporat sebanyak 30% dan caj tambahan 10% yang dikenakan terhadap syarikat minyak dan gas.
"Bagaimanapun, ini sebahagiannya akan diimbangi oleh elaun pelaburan ke atas perbelanjaan yang berkaitan dengan aktiviti huluan.
"Secara keseluruhan, kami menjangkakan kadar cukai berkesan (ETR) Ping meningkat daripada 40% kepada 60% setiap tahun bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) hingga FY25," jelasnya.
Mengambil kira faktor itu, CGS-CIMB mengurangkan pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY25 sebanyak 13 hingga 18% mencerminkan anggaran ETR yang lebih tinggi untuk Ping.
"Namun, kami masih melihat pertumbuhan menarik bagi DNeX menjangkaui FY23 berikutan pemulihan permintaan dan pendedahan dalam teknologi baharu," tambahnya.
Setakat 9.06 pagi ini, harga saham DNeX susut 0.5 sen atau 0.79% kepada 62.5 sen dengan 1.2 juta saham diniagakan. -DagangNews.com








