DNeX bekerjasama dengan Kale perkenal Sistem Komuniti Kargo Lapangan Terbang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX bekerjasama dengan Kale perkenal Sistem Komuniti Kargo Lapangan Terbang

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Nov - Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) melalui anak syarikat milik penuhnya, Dagang Net Technologies Sdn. Bhd. menandatangani perjanjian kerjasama dengan Kale Logistics Solutions Private Limited untuk memperkenalkan Sistem Komuniti Kargo Lapangan Terbang (ACS).

 

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian mengenai pelaksanaan platform digital yang pertama seumpamanya, menghubungkan pemegang kepentingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

 

 

Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir
Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kerjasama itu melengkapkan keupayaan Dagang Net untuk mengembangkan e-perkhidmatan Fasilitasi Perdagangan untuk mod udara melalui platform ACS. 

 

Katanya, ACS membolehkan transaksi elektronik yang lancar, dilengkapi dengan pertukaran maklumat yang bijak dan selamat dalam kalangan pihak berkepentingan untuk meningkatkan daya saing komuniti lapangan terbang.

 

"Ini seterusnya boleh menyumbang kepada usaha meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor pengangkutan dan logistik serta kecekapan operasi keseluruhan, ketersambungan dan produktiviti merentas rantaian bekalan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ACS ialah platform neutral dan terbuka, membolehkan pertukaran maklumat yang bijak dan selamat antara pihak berkepentingan awam dan swasta untuk meningkatkan kedudukan daya saing komuniti lapangan terbang di Malaysia.

 

Di samping itu, ACS juga akan disepadukan dengan sistem komuniti lain seperti National Single Window (NSW) dan Port Community Systems (PCS) untuk Fasilitasi Perdagangan, sekali gus membolehkan pertukaran data perdagangan dalam komuniti perdagangan.

 

Syed Zainal berkata, Dagang Net telah menerajui perkhidmatan Kastam tanpa kertas melalui elektronik bagi memudahkan Fasilitasi Perdagangan dan memperkemaskan proses perdagangan antarabangsa untuk industri import dan eksport, perdagangan dan logistik, sejajar dengan hala tuju syarikat.

 

"Baru-baru ini, syarikat turut menganjurkan Mesyuarat Perikatan e-Dagang Pan Asia (PAA) kali ke-66 di Kuala Lumpur dari 14 hingga 15 November 2022.

 

"Dagang Net, yang merupakan ahli PAA, menganjurkan acara dua hari itu yang dihadiri oleh wakil utama daripada ahli pakatan yang mengambil bahagian," katanya.

 

PAA ialah pakatan yang terdiri daripada penyedia perkhidmatan daripada 16 ekonomi yang disambungkan kepada Kastam dan agensi pengawalseliaan perdagangan lain dalam ekonomi masing-masing, dan menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan teknologi maklumat yang selamat, dipercayai dan menambah nilai untuk memudahkan perdagangan di peringkat global. - DagangNews.com