DKSH, Oatly bentuk kerjasama strategik perluas pasaran minuman oat di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DKSH, Oatly bentuk kerjasama strategik perluas pasaran minuman oat di Malaysia

KUALA LUMPUR 28 Julai - DKSH Business Unit Consumer Goods, mengumumkan perkongsiannya dengan Oatly Asia, sebuah syarikat makanan dan minuman yang berpangkalan di Sweden bagi memasarkan minuman oat asli di Malaysia.

 

Perkongsian antara kedua-dua syarikat itu bermula pada awal 2022 di pasaran lain di Asia Pasifik. 

 

Sejak itu, DKSH telah berjaya mengembangkan bahagian pasaran Oatly dan terbukti sebagai rakan kongsi mereka yang dipercayai.

 

Di bawah perjanjian baharu itu, DKSH Malaysia akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran agensi penuh untuk barisan minuman oat Oatly, termasuk rangkaian rasa Barista, Deluxe, Coklat dan Organik.

 

Pasaran itu akan merentasi semua saluran perdagangan serta perkhidmatan makanan disasarkan kepada industri HORECA (hotel, restoran, dan kafe).

 

Ketua Pengurusan Negara dan Naib Presiden FMCG DKSH Malaysia, Puneet Mishra berkata, sejak permulaan pandemik COVID-19, pasaran berasaskan tumbuhan dan vegan Malaysia meningkat dengan rakyat lebih mementingkan kesihatan serta alam sekitar. 

 

"Permintaan yang melonjak ini telah mencetuskan inovasi yang lebih besar daripada segi menu, bekalan dan produk di pasaran. 

 

 

oatly

 

 

"Kami berbesar hati dan teruja untuk menyokong Oatly dalam misi bermakna ini untuk mempromosikan gaya hidup mampan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Dengan perjanjian ini, DKSH memanfaatkan lagi kedudukan kepimpinan serantaunya dalam pengedaran barangan pengguna yang bergerak pantas di Asia. - DagangNews.com