KUALA LUMPUR 24 Mac - Public Investment Bank Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Sime Darby Plantation Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.09 di sebalik berdepan tuntutan saman 5.88 trilion rupiah (kira-kira RM1.72 bilion) yang dikemukakan syarikat Indonesia, PT Asa Karya Multi Pratama (AKMP).
Penarafan itu diberikan buat masa ini sementara menanti keputusan mahkamah berhubung tuntutan saman berkenaan terhadap Sime Darby Plantation dan 5 anak syarikatnya ekoran pelupusan 2 unit perladangan.
"Di sebalik tuntutan kedua-dua pihak, kami berpendapat, ia kemungkinan boleh menjadi kes mahkamah yang berlarutan lebih lama.
"Dalam senario terburuk, kerugian daripada kes mahkamah ini berpotensi menghapuskan nilai buku bersih Sime Plantattion sebanyak 10%.
"Untuk tempoh jangka masa terdekat, perkembangan ini berkemungkinan akan mengakibatkan reaksi mendadak terhadap harga sahamnya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Setakat 9.58 pagi ini, harga saham Sime Darby Plantation susut 5 sen atau 0.99% kepada RM5 dengan 837,200 saham diniagakan.
Dalam kes berkenaan, tuntutan sivil telah difailkan oleh AKMP, yang mahu mengambil alih PT Ladangrumpun Suburabadi (LSI) dan PT Sajang Heulang (SHE) daripada unit Sime Darby Plantation dengan harga 1.65 trilion rupiah (kira-kira RM483 juta).
Bagaimanapun, plaintif, AKMP, mendakwa Sime Darby Plantation telah menolak perjanjian itu dan 'menawarkan secara tidak sah' saham dalam 2 anak syarikat itu kepada pihak ketiga.
Sime Darby Plantation berkata, tuntutan itu juga tersasar kerana antara lain ia tidak mempunyai sebarang hubungan kontrak dengan plaintif.
Malah, ia menjelaskan, peguamnya menasihatkan bahawa semua defendan 'mempunyai asas perundangan dan merit yang mencukupi' untuk mempertahankan tuntutan itu.
Public Investment berkata, tuntutan ganti rugi material sebanyak 882.5 bilion rupiah (RM285 juta) dan bukan material sebanyak 5 trilion rupiah (RM1.46 bilion) yang dikemukakan AKMP ekoran kerugian dari segi reputasi, adalah melebihi paras tunai semasa Sime Darby Plantation sebanyak RM589 juta. - DagangNews.com








