KUALA LUMPUR 30 Mei - Dasar Koperasi Negara (DKN) menyasarkan sumbangan perolehan koperasi sebanyak RM50 bilion dengan prestasi pengauditan koperasi akaun dan mesyuarat agung tahunan koperasi pada kadar 90%.
Prestasi pencapaian kepada perolehan adalah lebih RM41 billion walaupun negara dilanda penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan kegiatan sosial dan ekonomi global.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata, Pelan Strategik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (PS SKM 2021-205) dirangka selari dengan pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025.
Beliau berkata, SKM juga sedang menjalankan kajian Dasar Koperasi Malaysia 2021-2030 kesinambungan kepada Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2020 yang tamat pada 2020.
“PS SKM 2021-2025 dibentuk berpandukan DKN 2021-2030 dan Bidang Tujahan 5, Langkah Strategik 1 TransKoM 2021-2025, iaitu memperkasa peranan SKM sebagai badan induk dan kawal selia dan pembangunan koperasi, dalam bersama-sama merealisasikan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.
“Matlamat WKB 2030 iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah lebih progresif yang berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh, menangani jurang ekonomi antara etnik, kumpulan pendapatan, pembangunan wilayah dan rantaian bekalan dan menjadikan negara bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya menjadi paksi kepada ekonomi Asia,” katanya.
Menurut Noh, PS SKM 2021-2025 dibina berasaskan lima Teras Strategik yang memberi tumpuan kepada Transformasi Organisasi, Pembangunan Modal Insan, Penyampaian Perkhidmatan, Daya Tahan Kewangan dan Visibility Organisasi, dengan disokong oleh 19 strategi dan 82 program.
“PS SKM 2021-2025 dirangka berasaskan kepada visi SKM sebagai peneraju kecemerlangan koperasi bagi menjadikannya penyumbang berkesan kepada pembangunan negara, dengan misi antaranya merangsang pembangunan koperasi supaya kompetitif, berdaya tahan, berdaya saing, progresif dan berintegriti.
“Selain itu, penglibatan koperasi dalam pelbagai sektor ekonomi juga dapat dipertingkatkan dan membangunkan modal insan yang kompeten serta berbudaya keusahawanan. Dengan asas kepada pembangunan kerangka PS SKM 2021-2025 ini, ia dapat menjadikan PS SKM selari dengan fungsi kawal selia dan pembangunan SKM,” katanya.
Katanya, Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN22) bersama Gerakan Koperasi adalah sebagai permulaan kepada sambutan Hari Koperasi Negara yang akan dilaksanakan di 14 negeri bermula pada minggu ketiga Mei 2022 sehingga akhir Jun 2022.
“Bertemakan “100 Tahun Gerakan Koperasi, Membangun Keluarga Malaysia” konsep sambutan ditekankan merangkumi empat komponen penganjuran.
“Empat komponen itu adalah Pelancaran Sambutan 100 Tahun Koperasi; Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 (BKK22); Hari Koperasi Negara 2022 (HKN22) dan Hari Koperasi Negara 2022 (HKN22) Peringkat Negeri," katanya. - DagangNews.com







