KUALA LUMPUR 17 Feb - Dancomech Holdings Bhd. menerusi anak syarikat 55% miliknya, UTC Engineering Sdn. Bhd. bercadang memperoleh 70% dalam JusEV Charging Network Sdn. Bhd. dengan pertimbangan tunai berjumlah RM70,000.
Cadangan itu membabitkan pengambilalihan 51,000 saham biasa (mewakili 51% kepentingan ekuiti) dan 19,000 saham biasa (mewakili 19% kepentingan ekuiti) daripada Yew Teik Choon, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pengarah JusEV terdiri daripada Wong Chee Weng dan Teik Choon, yang mana beliau juga merupakan pengarah UTC dan memiliki baki 45% ekuiti dalam syarikat tersebut.
"Selepas cadangan ini dimuktamadkan, JusEV akan menjadi anak syarikat milik 70% Dancomech Group," katanya.
JusEV secara dasarnya terlibat dalam perniagaan menyediakan peralatan bekalan kenderaan elektrik untuk segmen rumah, awam dan komersial.
Dancomech berkata, cadangan itu dijangka tidak memberi kesan material kepada modal saham dan pemegangan utama kumpulan.
"Selain itu, ia juga tiada kesan kepada penggearan, pendapatan sesaham dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023," tambahnya. - DagangNews.com








