Cypark Resources catat untung RM15.5 juta pada Q1, optimis dengan prospek RE | DagangNews Skip to main content

Cypark Resources catat untung RM15.5 juta pada Q1, optimis dengan prospek RE

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Mac - Cypark Resources Bhd. merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM15.5 juta bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2022, meningkat 4.2% daripada RM14.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Peningkatan ini terutamanya disebabkan pengiktirafan yang lebih rendah bagi perbelanjaan cukai tertangguh pada suku semasa, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi tempoh itu, kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM77.2 juta, hanya meningkat 0.9% daripada RM76.5 juta bagi tempoh sama 2021. 

 

Ini disumbangkan menerusi prestasi segmen tenaga diperbaharui (RE) yang lebih baik pada suku semasa dengan merekodkan pendapatan sebanyak RM66.3 juta manakala keuntungan sebelum cukai berjumlah RM17.5 juta.

 

Segmen ini mencatat keuntungan dan pendapatan yang lebih tinggi didorong penjanaan tenaga yang lebih baik daripada kebanyakan loji solar pada suku semasa berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, segmen perkhidmatan alam sekitar dan teknologi hijau pula mencatat sedikit penurunan pendapatan kepada RM900,000 manakala keuntungan sebelum cukai juga susut kepada RM200,000.

 

Untuk segmen sisa kepada tenaga (WTE) dan pengurusan sisa pula, pendapatannya susut kepada RM5.5 juta dengan keuntungan sebelum cukai juga menurun kepada RM1.9 juta disebabkan aktiviti yang lebih rendah di tapak ekoran penularan wabak COVID-19 yang menjejaskan tenaga kerja.

 

Mengenai prospek kumpulan, Cypark berkata, aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penggunaan RE sebanyak 31% menjelang 2025 berbanding 20% sebelum ini memberi peluang kepada pemain industri untuk membantu mempercepatkan penggunaan tenaga hijau termasuk solar.

 

Katanya, dengan peningkatan sasaran ini, Cypark menjangkakan kuota solar yang lebih besar akan ditawarkan oleh Suruhanjaya Tenaga melalui tender LSS5 dan seterusnya, membolehkan kumpulan mengambil bahagian dengan sewajarnya.

 

"Kami juga percaya terdapat peluang pertumbuhan yang luas dalam WTE sejajar dengan tumpuan kerajaan kepada ekonomi hijau, kitar semula sisa dan menggunakan kitaran ekonomi ke arah masa depan yang lebih mampan seperti digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12. 

 

"Melangkah ke hadapan, kami percaya rekod prestasi cemerlang kami dalam mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan loji WTE pertama negara di Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan boleh membantu kami meraih lebih banyak projek WTE pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com