KUALA LUMPUR 29 Julai - Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan yang lebih rancak apabila jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) (Fed) dan ketegangan geopolitik semakin mereda.
Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof berkata, ia secara tidak langsung akan meningkatkan sentimen dan penilaian pasaran pada masa akan datang.
"Tambahan pula, kami melihat minat belian daripada pelabur asing mulai kembali tahun ini, setelah aktiviti dagangan terjejas pada separuh pertama 2022 akibat pendirian 'hawkish' Fed dan juga isu geopolitik," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, aliran hasil yang lebih lemah telah dipengaruhi perkembangan domestik dan global termasuk tekanan inflasi global, yang mengakibatkan penurunan keuntungan pada separuh pertama 2022 berbanding tempoh sama pada 2021.
Pada separuh pertama, keuntungan bersih Bursa Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 susut 39.4% kepada RM127.4 juta daripada RM210.4 juta.
Ia berikutan pendapatan operasi yang lebih rendah dalam tempoh berkenaan sebanyak RM390.4 juta, susut 25.4% daripada RM420.2 juta terutamanya disebabkan hasil dagangan sekuriti yang lebih rendah.
Baca : Untung bersih Bursa Malaysia susut kepada RM88.97 juta pada suku kedua akibat tekanan inflasi global
Bagaimanapun, Imran Yassin berkata, untung bersih yang direkodkan Bursa Malaysia pada separuh pertama dengan susut 39.4% adalah di bawah jangkaan firma pada 42.4% daripada unjuran tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) disebabkan hasil suku kedua yang lebih lemah.
Untung bersih Bursa Malaysia pada suku kedua susut 33.16% kepada RM59.47 juta berbanding RM88.97 juta manakala pendapatan juga merosot 22.55% kepada RM151.89 juta.
"Oleh itu, kami menyemak semula unjuran hasil bagi FY22, FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 5%, 7.5% dan 5.2% selepas mengambil kira prestasi yang lemah pada suku kedua," katanya.
Namun, secara keseluruhan, beliau mengekalkan saranan 'beli' terhadap Bursa Malaysia dengan harga sasaran (TP) disemak naik kepada RM7.60 daripada RM7.45 sesaham sebelum ini.
Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB Research, Winson Ng menjangkakan Bursa Malaysia akan merekodkan untung bersih sebanyak RM97.3 juta pada separuh kedua 2022, yang mencerminkan penurunan 32.9% tahun ke tahun.
Katanya, penurunan ini disebabkan percukaian yang lebih tinggi terutamanya daripada perbelanjaan Cukai Makmur.
"Namun, kami menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 kira-kira 4.3%, memandangkan kami mengurangkan unjuran perbelanjaan operasi (opex) sebanyak 5%.
"Sejajar dengan semakan semula ini, kami menaikkan TP kepada RM7 daripada RM6.59 sesaham sebelum ini, dengan mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Bursa Malaysia," jelasnya.
Beliau berpandangan positif bahawa Bursa Malaysia mampu mengurangkan opex pada separuh pertama bagi mengimbangi sebahagian impak pendapatan yang lebih lemah.
Setakat 9.52 pagi ini, harga saham Bursa Malaysia menokok 9 sen atau 1.4% kepada RM6.52 dengan 151,300 saham diniagakan. - DagangNews.com








