CTRM dipilih sebagai hab kalibrasi Testia di rantau Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

CTRM dipilih sebagai hab kalibrasi Testia di rantau Asia Pasifik

Ketua Pegawai Eksekutif Testia, David Rottembourg (sempat dari kiri) bertukar dokumen bersama Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof semasa Minggu Penerbangan MRO Asia Pasifik Singapura pada 27 September lalu.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Okt - Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) berjaya mencipta sejarah dalam industri aeroangkasa selepas kemudahan ujiannya disahkan sebagai hab kalibrasi rantau Asia Pasifik untuk produk-produk ujian kepada anak syarikat Airbus,Testia.

 

Menerusi Perjanjian Perkhidmatan Induk antara CTRM dan Testia, anak syarikat CTRM iaitu CTRM Testing Laboratory Sdn. Bhd. (CTRM TL) telah dipilih sebagai hab kalibrasi pertama untuk produk ujian Testia di rantau Asia-Pasifik, dan yang pertama di luar pangkalan Testia di Toulouse, Perancis.

 

Perkhidmatan lain yang akan disediakan termasuk latihan Ujian Tanpa Musnah (Non-Destructive Testing), program Akademi Kadet NDT bagi pembangunan tenaga kerja bertauliah melalui latihan teori dan di tempat kerja, serta pengedaran produk Testia di rantau Asia-Pasifik.

 

Melalui perjanjian itu, CTRM TL akan menawarkan perkhidmatan makmal untuk kalibrasi produk Testia dan menjadi platform pendaftaran komprehensif untuk Akademi Kadet NDT Testia. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, pihaknya juga sedang mengintai untuk menjadi pengedar dan pusat latihan rasmi bagi rangkaian produk dan perkhidmatan NDT Testia di rantau ini. 

 

"Usaha ini pastinya akan melonjakkan CTRM ke peringkat seterusnya dalam menyediakan perkhidmatan kalibrasi dan latihan NDT bukan sahaja kepada pelanggan tempatan malah kepada pelanggan antarabangsa di rantau APAC.

 

“Kerjasama ini memberi petanda baik terhadap keseluruhan strategi syarikat ke arah mengembangkan perniagaan dan penglibatan CTRM dalam industri ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Pelanggan Testia di rantau Asia-Pasifik akan mendapat manfaat daripada perkembangan ini melalui masa yang lebih pantas dan kos pengangkutan yang lebih rendah kerana peralatan ujian akan diservis oleh pasukan CTRM di Melaka, berbanding makmal kalibrasi Testia di Eropah.

 

Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO Malaysia), yang ditugaskan untuk memperkukuh industri aeroangkasa Malaysia, menyatakan bahawa agensi itu menyokong penuh dan amat menggalakkan usahasama antara CTRM TL dan Testia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Prof. Ts. Shamsul Kamar Abu Samah berkata, kerjasama itu adalah selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, untuk mengukuhkan keupayaan Malaysia sebagai hab ujian dan latihan ke arah menyumbang kepada rantaian bekalan aeroangkasa domestik.

 

“NAICO Malaysia melihat kerjasama ini sebagai asas dalam memacu industri aeroangkasa Malaysia ke peringkat global, menggariskan komitmennya untuk memajukan keupayaan sektor ini dan mencapai objektif 2030," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Testia, David Rottembourg (sempat dari kiri) bertukar dokumen bersama Ketua Pegawai Eksekutif CTRM, Shamsuddin Mohamed Yusof semasa Minggu Penerbangan MRO Asia Pasifik Singapura pada 27 September lalu. - DagangNews.com