CTOS, Nikkei bangunkan perkhidmatan pemantauan berita menerusi platform scoutAsia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CTOS, Nikkei bangunkan perkhidmatan pemantauan berita menerusi platform scoutAsia

(Dari kiri) Pengarah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DC Frontiers, Daryl Neo; Pengarah Urusan Nikkei Group Asia Pte Ltd, Sonoko Watanabe, Toshio Machida, Erick Hamburger, Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Data CTOS, Eric Chin dan Pengurus Besar CTOS Basis, Puven Sangaran bergambar ketika majlis menandatangani MoU antara CTOS dan Nikkei
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - CTOS Digital Berhad (CTOS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Nikkei Inc. (Nikkei), salah satu kumpulan media perniagaan terbesar di dunia yang berpangkalan di Jepun, bagi membangunkan perkhidmatan pemantauan berita di platform CTOS melalui scoutAsia. 

 

ScoutAsia ialah sebuah platform data syarikat dan berita memfokuskan Asia yang dibina bersama Nikkei dan The Financial Times dengan matlamat membantu pelanggan membuat keputusan berasaskan pengetahuan. 

 

Matlamat kerjasama baharu ini adalah untuk menggalakkan penggunaan berita dan data korporat secara efektif, yang akan disediakan oleh kedua-dua pihak. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS, Erick Hamburger berkata, data dan analitik adalah asas kepada semua yang mereka lakukan di CTOS. 

 

"Kemampuan mengembangkan jenis data yang kami tawarkan kepada pelanggan, dan memperluaskan perkhidmatan di seluruh Asia bersama Nikkei adalah satu langkah ke hadapan yang penting untuk kami di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pegawai Pengurusan Eksekutif Nikkei, Toshio Machida pula berkata, pihaknya telah melabur secara aktif di Asia, membangunkan teknologi dan menjalinkan kerjasama dengan pembekal maklumat global yang terbaik.

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan CTOS bagi meneroka inisiatif baru untuk  menawarkan pengetahuan perniagaan yang lebih mendalam kepada pelanggan," katanya.

 

 

ctos

 

 

ctos

 

 

Terdahulu, CTOS dan Nikkei turut meneroka peluang untuk memperkasakan produk dan platform Nikkei dengan menggunakan perniagaan dan maklumat perniagaan global CTOS. 

 

CTOS Digital Berhad ialah syarikat induk agensi pelaporan kredit yang terkemuka di ASEAN iaitu CTOS di Malaysia dan BOL di Thailand. Kumpulan CTOS menawarkan pelbagai produk digital yang inovatif serta perkhidmatan pengurusan risiko kredit.

 

Perkhidmatan CTOS digunakan secara meluas di Malaysia oleh perbankan dan institusi-institusi kewangan tempatan dan antarabangsa, termasuk syarikat insuran,telekomunikasi, perusahaan kecil dan sederhana serta konsumer untuk semakan kendiri. - DagangNews.com