CTOS Digital muktamadkan harga terbitan RM1.58 sesaham kumpul RM173.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CTOS Digital muktamadkan harga terbitan RM1.58 sesaham kumpul RM173.8 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Feb - CTOS Digital Bhd. hari ini memuktamadkan harga terbitan bagi cadangan penempatan utama pada RM1.58 sesaham untuk mengumpul dana sehingga RM173.8 juta. 

 

Hasil tersebut akan digunakan sebahagiannya bagi membiayai pengambilalihan 49% kepentingan dalam Juris Technologies (JurisTech) bernilai RM205.8 juta yang dijangka selesai pada suku pertama 2022, manakala bakinya akan dibiayai menerusi pembiayaan bank. 

 

Di bawah cadangan penempatan utama itu, kumpulan akan menerbitkan sehingga 110 juta saham baharu merangkumi 5% daripada jumlah saham yang diterbitkan CTOS Digital. 

 

Selepas penyenaraian saham baharu pada awal Mac 2022, modal saham terbitan CTOS Digital akan meningkat daripada 2.20 bilion saham kepada 2.31 bilion saham.

 

Harga terbitan sesaham pada RM1.58 mewakili diskaun 6.5% kepada harga purata wajaran volum 5 hari (VWAP) sehingga dan termasuk 21 Februari 2022, iaitu hari pasaran sejurus sebelum tarikh penetapan harga.

 

Dalam kenyataan, CTOS Digital berkata, lembaga pengarah memutuskan hanya mengumpul RM173.8 juta melalui cadangan penempatan dengan tujuan untuk mengoptimumkan jumlah ekuiti dan hutang yang diperoleh bagi membiayai pengambilalihan syarikat dan untuk membayar anggaran perbelanjaan yang berkaitan dengan penempatan dicadangkan dengan setakat ini, ia sudah terlebih langgan.

 

Katanya, pengurusan kumpulan secara dalaman menyasarkan pertumbuhan kukuh bagi untung bersih meningkat sehingga 30% kepada kira-kira RM70 hingga RM80 juta bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2022 dipacu sumbangan menerusi JurisTech dan perniagaan sedia ada sejajar dengan pemulihan ekonomi.

 

"Kami percaya, kami hanya berada di puncak fasa pertumbuhan baharu dan optimis terhadap prospek pada masa hadapan," katanya.

 

Berikutan permintaan kukuh untuk penempatan ini, firma ekuiti swasta Creador melalui Inodes Ltd, meletakkan 185 juta saham yang dimilikinya dalam CTOS Digital pada harga yang sama RM1.58, penempatan pertama sejak tawaran awam permulaan (IPO) syarikat pada Julai tahun lalu.

 

Ini mengurangkan pegangan saham Inodes dalam CTOS Digital daripada 40% kepada 30.1% selepas terbitan penempatan utama. - DagangNews.com