Country Garden jangka zon kewangan khas di Forest City rangsang ekonomi Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Country Garden jangka zon kewangan khas di Forest City rangsang ekonomi Johor

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR  28 Ogos - Rancangan kerajaan mewujudkan zon kewangan khas di Forest City dijangka merangsang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi di Johor, yang akan memacu sektor penjagaan kesihatan, pendidikan dan pelancongan, kata Country Garden Malaysia-Singapura.

 

Menyambut baik rancangan tersebut, Naib Presiden Forest City, Ir. Syarul Izam Sarifudin berkata usaha tersebut membolehkan insentif di Iskandar Malaysia diperluaskan ke Forest City termasuk kadar cukai pendapatan khas sebanyak 15% bagi pekerja mahir dan visa masuk pelbagai.

 

“Forest City kini dalam fasa dua mengikut pelan tindakan pembangunan. Fokus kami di peringkat ini adalah untuk meneroka lebih banyak peluang pelaburan.

 

“Pengumuman tersebut diyakini akan memberi manfaat kepada ekonomi Johor dan wilayah secara keseluruhannya. Kami sudah bersedia memberikan kerjasama yang berpanjangan dan berjaya,” ulas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata bahawa kerajaan berhasrat mewujudkan zon kewangan di perbandaran tersebut sebagai usaha merancakkan pelaburan, pertumbuhan dan aktiviti ekonomi di Johor.

 

 

Ir. Syarul Izam Sarifudin
Ir. Syarul Izam Sarifudin

 

 

Pada masa yang sama, syarikat itu turut diselubungi kebimbangan ekoran krisis hutang baru-baru ini di syarikat induknya, Country Garden Holdings Ltd di China, yang mungkin menyebabkan kesan limpahan kepada anak syarikatnya di Malaysia, yang mempunyai beberapa pembangunan berskala besar di Johor.

 

Bagaimanapun, Reuters memetik Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai berkata risiko dalam sektor hartanah berikutan unit tidak terjual daripada pelbagai projek Country Garden di Malaysia kekal terurus.

 

"Perkembangan semasa Country Garden Holdings Ltd di China dijangka tidak memberi sebarang kesan material ke atas keseluruhan aktiviti pasaran hartanah dan harga di Malaysia," tambahnya.

 

Syarul Izam berkata Country Garden Malaysia-Singapura pada masa ini mempunyai aset bersih dan rizab tanah yang mencukupi, di samping menjamin keseluruhan operasinya di Malaysia adalah selamat dan stabil.

 

“Projek syarikat kami di Malaysia beroperasi seperti biasa dan menunjukkan prestasi jualan yang kukuh.

 

“Kami mempunyai lima projek di Malaysia iaitu - Country Garden Danga Bay, Forest City dan Central Park di Johor, Lake City@KL North dan Diamond City di Kuala Lumpur.

 

“Dengan landskap ekonomi global dan Malaysia selepas wabak beransur-ansur pulih, pembangunan berterusan dan stabil dalam hubungan China-Malaysia, syarikat yakin untuk terus meneroka pasaran di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com