KUALA LUMPUR 22 Dis - Penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan bersepadu, Coraza Integrated Technology Bhd. yang akan disenaraikan pada 20 Januari 2022 menjangkakan untuk menjana RM33 juta daripada cadangan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.
Syarikat merancang untuk menggunakan RM15.5 juta (47%) yang diperoleh daripada penawaran awam permulaan (IPO) itu bagi membeli mesin-mesin dalam tempoh 3 tahun bagi kilang sedia ada dan baharunya di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Sejumlah RM6.4 juta (19.5%) daripada perolehan itu nanti akan digunakan membiayai sebahagian daripada pembinaan kilang baharu, seiring dengan perluasan kapasiti pengeluaran dan penawaran perkhidmatannya bagi merebut peluang daripada pertumbuhan pesat di dalam industri semikonduktor.
Kedudukan kilang baharu yang bertentangan dengan kilang sedia ada, dijangka memiliki keseluruhan kawasan binaan seluas 91,110.1 kaki persegi. Pembinaan akan dijalankan dalam 3 fasa dan disasarkan siap menjelang Disember 2023.
Baki hasil itu nanti akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank berjumlah RM4.6 juta (13.9%), manakala RM1.5 juta (4.6%) bagi menambah kawasan kilang sedia ada untuk meningkatkan perluasan.
Sebanyak RM1.2 juta (3.6%) pula bagi membeli dan menyepadukan sistem Perusahaan Perancangan Sumber (ERP) baharu dan mengautomasikan pemprosesan supaya operasi lebih efisien dan RM3.8 juta (11.4%) bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan Coraza, Lim Teik Hoe berkata, lebih 2 tahun lalu, syarikat telah menerima pertambahan berterusan tempahan bagi bahagian logam kepingan daripada pelanggan utamanya, terutama komponen yang dimesin tepat digunakan di dalam industri semikonduktor.
Katanya, di sebalik perintah kawalan pergerakan pada 2020, perolehan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (FY2020) tumbuh sebanyak 42.8% kepada RM83.7 juta daripada RM58.6 juta setahun yang lalu.
“Mesin-mesin baharu ini akan terus meningkatkan kapasiti kami sebanyak 25% dan menambah baik penawaran perkhidmatan bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah daripada pelanggan yang beroperasi di dalam industri semikonduktor.
“Coraza berusaha untuk terus meluaskan pilihan perkhidmatan yang disediakan bagi para pelanggan yang beroperasi di pelbagai industri.
"Untuk melakukannya, kami akan terus melabur di dalam mesin, seiring dengan penambahbaikan teknologi dan keperluan-keperluan para pelanggan kami," katanya dalam kenyataan hari ini.
Coraza menyediakan pilihan perkhidmatan menyeluruh, merangkumi pemasangan logam kepingan, komponen kejuruteraan tepat, selain penyediaan perkhidmatan berkaitan seperti reka bentuk dan pembangunan (D&D) dan pemansangan sub-modul tambah nilai kepada pelanggan di pelbagai industri iaitu semikonduktor, instrumen, peranti perubatan dan sains hayat, aeroangkase dan banyak lagi.
Di bawah proses penyenaraian tersebut, Coraza akan menerbitkan 117.8 juta saham baharu, mewakili 27.5% modal saham diperbesarkan pada harga terbitan RM0.28 sesaham.
Daripada 117.8 juta saham baharu tersebut, sebanyak 21.4 juta saham baharu akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi proses cabutan; 21.4 juta saham baharu untuk Pengarah, kakitangan yang layak dan orang perseorangan yang telah menyumbang kepada kejayaan Coraza Group mengikut Peruntukan Borang Merah Jambu manakala baki 74.9 juta saham baharu diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih menerusi kaedah penempatan persendirian.
Sebagai sebahagian daripada proses penyenaraian, pemegang saham sedia ada syarikat juga akan ditawarkan penjualan 21.4 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih terpilih secara penempatan persendirian.
Berdasarkan modal saham dibesarkan sebanyak 428.3 juta saham, Coraza dijangka memiliki permodalan pasaran sebanyak RM119.9 juta.
IPO ini terbuka untuk langgan bermula hari ini hingga 6 Januari 2022. M&A Securities Sdn. Bhd. merupakan Penasihat, Penaja, Penaja Jamin dan Agen Penempatan bagi proses IPO ini. - DagangNews.com








