Coop Bank Pertama lulus 47,000 permohonan moratorium | DagangNews Skip to main content

Coop Bank Pertama lulus 47,000 permohonan moratorium

 

 

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Coop Bank Pertama (CBP) meluluskan lebih 47,000 permohonan moratorium di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sehingga pertengahan Julai lalu, dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.2 bilion.

 

Secara keseluruhannya, permohonan tersebut melibatkan pelanggan bagi Pembiayaan Persendirian-i, Pembiayaan Perumahan-i dan juga Pembiayaan Ar-Rahnu.

 

Pengerusi CBP, Kamari Zamari Juhari berkata, daripada jumlah itu hampir 99% permohonan moratorium pelanggan CBP telah diluluskan. 

 

Bagaimanapun, katanya, bagi pelanggan koperasi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), permohonan akan dinilai berdasarkan pertimbangan institusi kewangan itu.

 

“CBP menawarkan 4 fasa moratorium iaitu Fasa 1 berkuat kuasa April tahun lalu hingga Oktober 2020. Sebanyak 55,901 akaun menerima moratorium dengan baki pembiayaan sebanyak RM2.8 bilion. 

 

“Bagi Fasa 2 bermula Oktober 2020 hingga Disember 2020 yang menyasarkan kumpulan B40 mencatatkan 26 akaun individu dan 3 akaun korporat diluluskan berjumlah RM45 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kamari Zamari Juhari
Kamari Zamari Juhari 

 

 

Sementara itu, bagi Fasa 3 ia bermula Januari 2021 sehingga Jun lalu menyasarkan kumpulan B40 terjejas pendapatan berjumlah RM1.2 bilion membabitkan lebih 12,000 akaun bagi moratorium lanjutan 3 bulan dengan baki pembiayaan RM797.8 juta.

 

Lebih 5,500 akaun dengan baki pembiayaan RM399.2 juta pula melibatkan pengurangan bayaran 50% selama 6 bulan.

 

Kamari Zamari berkata, moratorium Fasa 4 pula dilaksanakan sempena pengumuman program Pemulih, lebih 47,000 akaun diberi moratorium selama 6 bulan dengan baki pembiayaan melebihi RM3.2 bilion.

 

“Tempoh moratorium ditawarkan CBP kepada pelanggan adalah selama 6 bulan dan tidak diklasifikasikan sebagai penjadualan semula atau penstrukturan semula selain rekod pembiayaan kekal seperti sediakala. 

 

“Pelanggan yang membayar melalui Biro Potongan ANGKASA (BPA) atau Potongan Gaji Majikan (PGM), pembayaran akan diaktifkan semula selepas tamat tempoh moratorium ini. Pembayaran lain akan dihubungi CBP,” katanya.

 

Bagi permohonan tidak diluluskan hanya membabitkan 240 pelanggan sahaja berikutan tidak menepati syarat ditetapkan CBP.

 

Syarat ditetapkan itu termasuklah permohonan pembiayaan diluluskan selepas 30 Jun 2021 dan mempunyai tunggakan melebihi 3 bulan. 

 

"Menyedari ramai terkesan ketika pandemik ini, CBP menawarkan penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan berdasarkan kelayakan tertakluk kepada penilaian kredit ditetapkan bagi setiap permohonan. 

 

“Sebanyak 297 akaun diluluskan di bawah program penstrukturan semula pembiayaan sejak pelaksanaan moratorium pada April 2020 dengan jumlah baki pembiayaan RM16.8 juta,” katanya.

 

Menurut beliau, walaupun menyedari implikasi kewangan yang bakal ditanggung, CBP menawarkan kemudahan moratorium sebagai inisiatif bantuan kepada pelanggan. 

 

Katanya, risiko ke atas bank akan berpunca daripada pembiayaan tersebut menjadi tertunggak jika peminjam gagal membayar apabila tempoh moratorium berakhir. 

 

“Dalam hal ini, CBP sentiasa berhati-hati dalam pengurusan risiko dengan melakukan ‘stress test’ ke atas penyata imbangan kami bagi memahami risiko moratorium.

 

“Adalah penting untuk peminjam mempunyai disiplin membayar tunggakan terhutang kepada bank bagi memastikan rekod pembiayaan mereka adalah baik untuk memudahkan permohonan pembiayaan pada masa hadapan,” jelas beliau. - DagangNews.com