Continental lancar rangkaian tayar generasi ketujuh ComfortContact CC7 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Continental lancar rangkaian tayar generasi ketujuh ComfortContact CC7

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Susulan pelancaran UltraContact UC7 pada Ogos 2022, Continental Tyres melancarkan produk baharunya dalam rangkaian tayar Generasi 7, ComfortContact CC7, tayar yang memberi tumpuan kepada keselesaan bagi membolehkan pemandu dan penumpang benar-benar menikmati setiap perjalanan yang mereka lalui. 

 

Ketua Tayar Gantian Asia Pasifik, Dalibor Kalina berkata, pihaknya memahami bahawa kriteria utama untuk pemandu di Asia Pasifik ialah keselesaan, berbanding dengan rakan-rakan mereka di Barat dan Eropah. 

 

"Sebab itulah, Continental telah membina reputasi dengan menawarkan barisan produk tayar yang lebih senyap dan selesa khusus untuk pasaran Asia kami.  

 

"ComfortContact CC7 mewakili produk flagship kami dalam segmen Comfort,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, ComfortContact CC7 baharu ditambah baik dengan Teknologi Comfort+ yang menjanjikan pengalaman pemanduan lebih lancar dan senyap yang memberikan keselesaan dan ketenangan minda.

 

Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, Andrea Somorova berkata, memandangkan setiap pelanggan mempunyai keperluan yang berbeza serta permintaan terhadap teknologi berinovasi, pihaknya berusaha memahami kemahuan pemandu di Malaysia dan mencipta produk yang dapat memenuhi keperluan ini.
 

Continental telah mengumpulkan sebuah pasukan global yang terdiri daripada lebih 30 jurutera serta pakar yang mengambil masa lebih 7,500 jam untuk mereka bentuk, menjalankan ujian simulasi, membina dan menguji prototaip. 

 

Lebih daripada 500 ujian telah dilakukan di atas pelbagai keadaan jalan dan makmal, dengan jarak yang cukup untuk mengelilingi bumi lebih 7 kali.  

 

Direka bentuk untuk segmen tayar Comfort, Teknologi Comfort+ khusus untuk pemandu yang mengutamakan keselesaan untuk diri mereka sendiri dan penumpang.

 

Teknologi Comfort+ merangkumi tiga ciri utama ComfortContact CC7, “Z.E.N”, - Zero Shock Pattern, Everflex Compound dan Noise Muter.

 

Berbanding dengan produk tayar ComfortContact CC6, ComfortContact CC7 memberikan tahap keselamatan yang dipertingkatkan di atas jalan menerusi penambahbaikan ketara dari segi pengendalian dan brek tanpa menjejaskan tahap keselesaan serta pengurangan bunyi bising. 

 

ComfortContact CC7 dicipta untuk pelbagai jenis kenderaan, yang boleh didapati dalam pelbagai saiz dari 13 hingga 16 inci. 

 

Pemandu yang mahu merasai pengalaman pemanduan yang benar-benar menyeronokkan boleh memilih tayar ComfortContact CC7 untuk kenderaan kompak mini, kompak, saiz sederhana dan MPV mereka. - DagangNews.com