Continental, Castrol meterai MoU bagi terokai inisiatif bersama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Continental, Castrol meterai MoU bagi terokai inisiatif bersama

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mei - Continental Tyre Malaysia dan Castrol Malaysia memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi menerokai inisiatif bersama di seluruh negara. 

 

Kedua-dua syarikat itu menyasarkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di negara ini dengan memanfaatkan rangkaian pengedar, penawaran dan kepakaran luas masing-masing bagi menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi.

 

Ia juga bagi memberikan kemudahan serta pengalaman yang serba lengkap demi ketenangan minda para pengguna.

 

Pengarah Urusan Continental Tyre Malaysia, Andrea Somorova berkata, pihaknya yakin dengan perkhidmatan dan kecemerlangan kedua-dua jenama itu ejak sekian lama di dalam pasaran.

 

"Kami akan terus menjadi jenama pilihan dalam penyelenggaraan automotif. 

 

"Terdapat permintaan kukuh bagi kedua-dua jenama dan produk kami di pasaran dalam kalangan pemilik kenderaan premium dan peluang besar untuk bekerjasama dengan menggabungkan penawaran bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah Jualan Pasaran Castrol Malaysia dan Singapura, Gan Wee Kiong pula berkata, kerjasama itu adalah bukti komitmen kedua-dua jenama ke arah keselamatan dan kepuasan hati pelanggan sambil mereka bergabung tenaga ke arah mengukuhkan lagi kedudukan jenamanya di Malaysia. 

 

 

continental
Andrea Somorova (kanan) dan Gan Wee Kiong selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi menerokai inisiatif bersama di seluruh negara.

 

 

"Menerusi gabungan kepakaran kami yang menyokong peluang baru, kami akan terus memimpin dan berinovasi bagi memastikan kami sentiasa menjadi peneraju pasaran global dalam hal perkhidmatan dan penyelenggaraan," katanya.

 

Di bawah kerjasama yang dicadangkan itu, kedua-dua pihak akan menawarkan gabungan program kesetiaan pelanggan kepada para pemilik kenderaan di Malaysia di mana mereka boleh menikmati pelbagai tawaran, insentif, penebusan dan ganjaran. 

 

Kedua-dua jenama turut berusaha ke arah mewujudkan kerjasama yang bakal menyaksikan penubuhan kedai jenama bersama di seluruh negara dengan rancangan untuk pengembangan dan pertumbuhan.  

 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Continental Tyres Malaysia, sila kunjungi www.continental-tyres.com.my atau ikuti laman Facebook rasmi mereka di www.facebook.com/continental.malaysia. 

 

Maklumat lanjut mengenai Castrol Malaysia, sila kunjungi www.castrol.com/my atau ikuti laman Facebook rasmi mereka di https://www.facebook.com/castrolmalaysia. - DagangNews.com