KUALA LUMPUR 9 Feb - Citadel Group menyasarkan untuk memasuki pasaran saham Amerika Syarikat (AS), Nasdaq dalam tempoh dua ke tiga tahun akan datang.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Citadel, Datuk Jeff S Medina berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada keputusan strategik untuk mengembangkan perniagaan, selain menumpukan sasaran disenaraikan di Bursa Malaysia.
Beliau berkata, ia juga selaras dengan usaha untuk menyediakan tawaran awam permulaan (IPO) di peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Sudah tiba masanya untuk mula mencipta nama dalam industri kewangan.
"Ini penting memandangkan kami mahu dilihat sebagai industri kewangan yang boleh dipercayai dan berlesen dengan lesen diperoleh daripada Bank Negara Malaysia,” katanya dalam taklimat bersama media di sini, Rabu.
Terdahulu, Kumpulan Citadel yang ditubuhkan pada 2019 menumpukan kepada perkhidmatan kewangan sebagai aktiviti perniagaan utama.
Menurut Jeff, pihaknya berusaha untuk menjadi penyedia instrumen kewangan digital untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus hidup dan berkembang maju dalam masa mencabar dan ekonomi yang semakin pulih ini.

"Produk dan perkhidmatan kami turut menawarkan pembiayaan islamik menerusi produk baru Saham Keutamaan Boleh Tebus dan Ubah Islam (iRCPS) di bawah CG Optima," katanya.
Katanya, dana yang dikumpul itu akan digunakan untuk mengembangkan lagi perniagaan gerbang e-pembayaran mereka ke negara jiran lain di rantau Asia.
Selain itu, Citadel turut merealisasikan matlamat pendigitalan bank pusat itu dengan pengambilalihan qBayar baru-baru ini iaitu aplikasi menyediakan perkhidmatan e-wang melalui aplikasi yang berfungsi sebagai e-dompet. - DagangNews.com








