Cisco bekerjasama dengan kerajaan percepatkan usaha pendigitalan di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cisco bekerjasama dengan kerajaan percepatkan usaha pendigitalan di Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kanan) bersama Naib Presiden Kanan dan Pegawai Inovasi Global di Cisco, Guy Diedrich (dari kiri); Presiden Cisco Asia Pasifik, Jepun, dan China, Dave West (kanan) dan Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja (dua dari kiri) selepas majlis menandatangani perjanjian antara Cisco dan kerajaan sempena Sidang Kemuncak Khas Amerika Syarikat-ASEAN di Washington, Amerika Syarikat pada 12 Mei lalu.

KUALA LUMPUR 17 Mei - Cisco menandatangani rangka kerja kerjasama dengan kerajaan baru-baru ini dalam usaha memajukan usaha pendigitalan di negara ini.

 

Kerjasama itu ditandatangani secara rasmi pada 12 Mei lalu, sempena acara sekitar Sidang Kemuncak Khas Amerika Syarikat-ASEAN yang dihoskan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

 

Majlis itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Pegawai Eksekutif, MyDigital Corporation, Fabian Bigar; Naib Presiden Kanan dan Pegawai Inovasi Global di Cisco,  Guy Diedrich dan Presiden Cisco Asia Pasifik, Jepun, dan China, Dave West serta Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Hana Raja.

 

Ia menandakan komitmen Cisco dan menetapkan asas untuk program Country Digital Acceleration (CDA) baharu Cisco di Malaysia sejajar dengan agenda transformasi digital Malaysia dan juga Pelan Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) bagi memupuk keterangkuman sosial dan daya tahan ekonomi melalui transformasi digital berskala besar.

 

Fabian Bigar berkata, revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan kemajuan pesat transformasi digital menunjukkan betapa pentingnya pendigitalan dalam kedua-dua sektor awam dan swasta. 

 

Katanya, dalam usaha memanfaatkan potensi masa depan digital dengan sepenuhnya, semua pihak berkepentingan mesti berganding bahu memacu pertumbuhan ekonomi digital, termasuk merapatkan jurang digital. 

 

"Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Cisco dan membawa program CDA ke Malaysia. Ini merupakan langkah penting dalam merealisasikan masa depan digital kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Program CDA merupakan pencapaian terkini dalam komitmen yang sudah lama terjalin antara Cisco kepada Malaysia. 

 

Cisco Networking Academy, program pendidikan IT dan keselamatan siber global yang bekerjasama dengan institusi pembelajaran untuk memperkasakan segala lapisan masyarakat dengan peluang kerjaya, telah beroperasi di Malaysia selama lebih 20 tahun. 

 

Program ini membantu menangani kekurangan pekerja berkemahiran IT dengan menyediakan pelajar untuk memperoleh pensijilan yang diiktiraf industri dan kerjaya masa depan dalam bidang teknologi.

 

Sementara itu, Hana Raja berkata, interaksi digital dan model pengkomputeran awan pertama telah menjadi lazim untuk perniagaan di Malaysia. 

 

"Ini ditambah dengan tumpuan kerajaan pada MyDigital, bermakna ini adalah masa yang tepat untuk perkongsian awam-swasta dalam merealisasikan agenda pendigitalan negara. 

 

"Di Cisco, kami komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan ke arah memacu era pertumbuhan baharu selain menjana masa depan yang inklusif untuk semua dengan menangani jurang digital," katanya. - DagangNews.com