KUALA LUMPUR 10 Mei - CIMB Private Banking telah dianugerahkan sebagai Bank Persendirian Domestik Terbaik dan Kemewahan Massa/HNW Terbaik di Malaysia sempena Anugerah Perbankan Persendirian Asiamoney Asia 2022.
Pencapaian itu menandakan tahun ketiga berturut-turut anugerah Bank Persendirian Domestik Terbaik telah dianugerahkan kepada CIMB Private Banking oleh Asiamoney.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Bhd., Jefferi Hashim berkata, anugerah berkenaan mengiktiraf kedudukannya sebagai bank swasta terkemuka di Malaysia, yang berjaya memberi khidmat kepada individu dan keluarga yang bernilai tinggi sejak 20 tahun lalu.
"Kami bertuah kerana dapat memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami, terutama dalam tahun yang merupakan antara paling mencabar di seluruh pasaran.
"Malah, kami juga berbangga kerana dapat terus menambah nilai kepada pelanggan kami disokong oleh keupayaan nasihat yang kukuh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di sebalik cabaran akibat pandemik COVID-19, CIMB Private Banking menyaksikan pertumbuhan aset yang memberangsangkan hasil daripada hubungan pelanggan yang semakin mendalam dan penjajaran dengan kepentingan pelanggan.
Model dan infrastruktur kerjasama yang kukuh, merangkumi pelbagai tawaran perbankan pelaburan dan perbankan korporat, telah berfungsi dengan baik dengan pelanggan bernilai bersih tinggi (HNW) dalam memenuhi keperluan peribadi dan korporat.
CIMB Private Banking, meraikan ulang tahun ke-20 tahun ini, merupakan perintis industri di Malaysia dengan kehadiran di peringkat serantau merangkumi Singapura dan Indonesia.
Ia menawarkan rangkaian penyelesaian komprehensif merangkumi pelaburan, penyelesaian kredit, perbankan bersepadu, perancangan kekayaan dan perwarisan.
Dengan rangkaian ASEAN dan keupayaan merentas sempadan, CIMB Private Banking berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi pelbagai keperluan individu HNW pada masa ini.
Secara dasarnya, Anugerah Perbankan Persendirian Asiamoney Asia diberikan setiap tahun kepada institusi kewangan yang menunjukkan keupayaan cemerlang dalam memenuhi sasaran strategik dan berbeza daripada pesaing mereka dari segi prestasi, strategi dan penawaran pelanggan. - DagangNews.com








