CIMB, Fave tawar perkhidmatan mudah alih beli sekarang, bayar kemudian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB, Fave tawar perkhidmatan mudah alih beli sekarang, bayar kemudian

Ketua FavePay Later, Audra Pakalnyte (dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Fave, Joel Neoh; Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta dan Ketua Wilayah, Kad Kredit & Kewangan Peribadi (MY) Kumpulan CIMB, Tan Bee Bee selepas mengumumkan kerjasama strategik membabitkan kedua-dua pihak.

KUALA LUMPUR 26 Julai – Fave, aplikasi pembayaran pintar Asia Tenggara, mengumumkan kerjasama strategik terbaharu mereka dengan CIMB Bank Bhd. untuk menawarkan perkhidmatan mudah alih beli sekarang, bayar kemudian (BNPL) kepada pelanggan CIMB. 

 

Tawaran itu bertujuan untuk menyediakan akses pilihan pembayaran alternatif dan fleksibel kepada pembeli dan menghubungkan peniaga kepada pangkalan pelanggan yang lebih besar di seluruh Malaysia. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta berkata, kumpulan teruja untuk menyertai trend yang sedang berkembang pesat ini bersama Fave sebagai rakan niaga dalam menyediakan perkhidmatan BNPL yang mudah dan senang digunakan kepada pelanggannya. 

 

Katanya, perkhidmatan itu menyediakan pelanggan dengan pilihan pembayaran alternatif dan fleksibel kerana mereka berurus niaga secara digital dalam persekitaran mudah alih hari ini. 

 

"Kerjasama ini menandakan satu lagi langkah ke arah penumpuan inovasi dalam pembayaran digital dengan platform perbankan yang mantap untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menerusi kerjasama itu, ia membolehkan lebih 8.4 juta pemegang kad debit CIMB mendapat akses kepada perkhidmatan BNPL Fave di lebih 15,000 lokasi peniaga, termasuk Al-Ikhsan, PUMA, Box of Bricks, Focus Point, Jakel dan banyak lagi.

 

Perkhidmatan BNPL Fave memberi lebih fleksibiliti kerana membolehkan pembeli membahagikan pembayaran kepada tiga ansuran tanpa faedah. 

 

Selain itu, pengguna akan mendapat manfaat daripada ganjaran yang pelbagai, memperoleh mata bonus CIMB dan pulangan tunai sehingga 15% dengan pembelian mereka dengan penjual terpilih.

 

Pengguna yang menghubungkan kad debit atau kredit CIMB mereka ke aplikasi Fave layak menikmati pulangan tunai RM25 dalam transaksi Fave PayLater seterusnya dengan kod promo CIMB25.
 

Ketua Pegawai Eksekutif Fave, Joel Neoh berkata, kerjasama itu membolehkan syarikat melanjutkan perkhidmatan ini kepada pelanggan kad debit yang tidak mempunyai kemudahan kredit tradisional dengan institusi kewangan dan meningkatkan penyertaan kewangan.

 

"Dengan FavePay Later, kami memperkasakan pengguna Malaysia untuk membeli produk dengan cara yang paling mudah, hanya pilih untuk membahagikan bil kepada tiga ansuran tanpa faedah semasa membuat pembayaran menggunakan aplikasi Fave. 

 

"Kami bersedia untuk memperkasakan peruncit dengan mengembangkan pangkalan pelanggan mereka, bilangan produk jualan dan mengekalkan pelanggan setia mereka dengan lebih baik melalui perkhidmatan dan teknologi kami yang mudah digunakan," tambahnya. - DagangNews.com