Chery bangunkan enjin ke tahap seterusnya dalam era tenaga baharu | DagangNews Skip to main content

Chery bangunkan enjin ke tahap seterusnya dalam era tenaga baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jun - Di samping permintaan yang semakin meningkat bagi kenderaan tenaga baharu di seluruh dunia, Chery sedang membangunkan 'All-Domain Power Architecture', merangkumi enjin, hibrid serta elektrik ke peringkat seterusnya bagi memenuhi keperluan dan kehendak masa hadapan.

 

Chery dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sejak pelancaran enjin pertamanya pada 18 Mei 1999, Chery telah memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan bebas (R&D). 

 

Jelasnya, barisan enjinnya telah memasuki evolusi generasi ketiga dan setakat ini, sembilan enjin telah disenaraikan dalam 10 Enjin Terunggul China, termasuk lebih 10 juta enjin Chery telah dijual di seluruh dunia.

 

"Pembangunan thermodinamik kini selesai bagi tiga enjin generasi keempat dan memasuki fasa kalibrasi bangku, manakala pembangunan enjin pertama di bawah generasi kelima telah diluluskan. Reka bentuk enjin ini dijangka dimuktamadkan pada akhir-Jun 2023 sebelum dimasukkan dalam kenderaan pertama menjelang 2024.

 

"Enjin hibrid khusus 1.5 liter turbo ini dilengkapi dengan suntikan terus, sistem pembakaran kecekapan tinggi pintar i-HEC 4.0 dan teknologi peredaran semula gas ekzos (EGR) tekanan rendah untuk mencapai kecekapan haba sebanyak 43.9% yang mengungguli industri. 

 

"Program penyelidikan awal mengenai enjin berkecekapan tinggi, menggunakan teknologi pre-chamber jet ignition dan lean-burn, telah mencapai sasaran kecekapan haba melebihi 45% dalam makmal," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, pada 18 Mei 2021, Chery melancarkan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) yang menampilkan dua motor, sembilan mod operasi, 11 kombinasi gear dan twin-shaft drive, menjadikannya yang pertama seumpamanya di kalangan jenama China.

 

 

chery

 

 

"Pada 25hb Februari 2022, salah satu project R&D utama negara yang diketuai oleh Chery ‘projek pembangunan trenkuasa kenderaan penumpang dan integrasi baharu serta cekap kos’ diluluskan di Wuhu, China. Hasil projek tersebut DHT generasi pertama Chery, iaitu 3DHT125 kini boleh ditemui dalam Tiggo 8 Pro e+.

 

"Pada 5 Mac 2022, ‘projek pembangunan enjin hibrid khusus (DHE)’ Chery, satu lagi projek R&D utama negara, telah lulus penilaian Kementerian Sains dan Teknologi China serta juri pakar. Projek ini memberi tumpuan kepada penyelidikan mengenai kitaran Miller high-compression ratio dan lean-burn untuk memanfaatkan enjin generasi keempat dan kelima Chery," katanya.

 

Katanya, Chery akan terus mengoptimumkan DHT tiga-kelajuan bagi kenderaan hibrid plug-in (PHEV) bersaiz sederhana, sambil membangunkan DHT satu-kelajuan untuk PHEV dan hibrid kompak dan sub-kompak.

 

 

chery

 

 

"Chery berupaya membangunkan unit kawalan elektrik bagi enjin (ECU), sistem hibrid (HCU) dan motor (MCU), dan sedang berusaha membangunkan teknologi kenderaan elektrik teras termasuk insulated-gate bipolar transistor (IGBT), litar bersepadu silikon-karbida (SiC) dan bateri solid-state," katanya.

 

Tambahnya, merangkumi tenaga bahan api, hibrid, elektrik dan hidrogen, All-Domain Power Architecture Chery direka berdasarkan setiap pelan hala tuju teknologi trenkuasa automotif yang diketahui untuk tempoh 30 tahun akan datang, dengan tumpuan segera pada pembangunan kendiri yang lengkap bagi produk elektrik. - DagangNews.com