KUALA LUMPUR 31 Jan - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Velesto Energy Bhd. dengan harga sasaran dinaikkan kepada 28.5 sen daripada 17 sen sesaham dengan anggaran peningkatan kadar sewaan harian (DCR) lebih tinggi.
Firma itu mendapati kadar penggunaan pelantar jack-up semakin kukuh di seluruh dunia disebabkan aktiviti penggerudian di Asia Barat dan China yang sibuk, manakala bekalan pelantar jack-up baharu adalah sangat terhad.
Ia menganggarkan kadar penggunaan jack-up akan meningkat kira-kira 80% tahun ini daripada 69% pada 2021 didorong aktiviti penggerudian yang tinggi di Asia Barat dan China.
Ini akan menyaksikan DCR bagi purata penggunaan pelantar jack-up akan meningkat setinggi AS$100,000 hingga AS$130,000 sehari bagi kontrak yang ditandatangani pada akhir 2022/awal 2023 berbanding hanya AS$67,000 sehari pada 2020.
"Dinamik asas yang kukuh ini adalah positif untuk Velesto. Kami mengandaikan Velesto akan mencapai 83% penggunaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), dan 80% selama lima tahun dari FY24 hingga FY28.
"Jika harga minyak mentah kekal melebihi AS$80 setong, kami jangkakan Velesto akan mendapat manfaat sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun daripada kekuatan kitaran DCR dan kadar penggunaan," katanya dalam nota kajian hari ini.
CGS-CIMB menjangkakan pendapatan teras Velesto akan meningkat daripada kerugian bersih RM15 juta pada FY22, kepada keuntungan bersih RM190 juta bagi FY23.
Keuntungan itu, katanya, akan meningkat kepada RM273 hingga RM327 juta selama lima tahun antara FY24 dan FY28, sebelum menyederhana kepada RM123 hingga RM132 juta bagi FY29 hingga FY32.
"Setiap anggaran kenaikan AS$10,000 sehari dalam DCR kontrak baharu akan meningkatkan keuntungan bersih teras FY23 Velesto sebanyak 17% dan harga sasaran berasaskan DCF kami sebanyak 20%," jelasnya.
Velesto kini sedang berunding dengan Petronas untuk meningkatkan DCR bagi pelantar yang dijadualkan menggerudi di bawah kontrak Petronas pada FY23.
Menurut firma itu, kontrak berkenaan buat masa ini menetapkan DCR pada AS$72,000 hingga RM74,000 sehari, tetapi memandangkan kadar pasaran global yang kukuh, Petronas mungkin bersetuju untuk menaikkan kadar berkenaan, sekitar AS$90,000 sehari untuk semua kontrak baharu.
"Mulai FY24 dan seterusnya, Velesto tidak lagi terikat dengan kontrak Petronas, dan kami mengambil kira kenaikan DCR sehingga AS$110,000 sehari untuk FY24 hingga FY25 manakala AS$100,000 sehari untuk FY26 hingga FY28, sebelum ia menyederhana kepada AS$80,000 sehari daripada FY29 dan seterusnya," katanya.
Setakat 10.02 pagi ini, harga saham Velesto kekal tidak berubah pada 23 sen dengan 13.86 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








