CGS-CIMB unjur untung bersih Bursa Malaysia susut hampir 40% pada suku ketiga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB unjur untung bersih Bursa Malaysia susut hampir 40% pada suku ketiga

ADTV dalam pasaran ekuiti tempatan susut 22.3% suku ke suku kepada RM1.74 bilion. - Gambar : Facebook Bursa Malaysia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Okt - CGS-CIMB Research menjangkakan untung bersih Bursa Malaysia Bhd. pada suku ketiga susut 38.8% kepada RM48.9 juta sejajar kemerosotan nilai purata dagangan harian (ADTV) pada tempoh berkenaan. 

 

Firma itu mendapati ADTV dalam pasaran ekuiti tempatan susut 22.3% suku ke suku kepada RM1.74 bilion dengan pendapatan ekuiti juga susut 42.2% pada suku ketiga itu, penurunan buat suku kelima berturut-turut sebanyak 40% hingga 50% tahun ke tahun. 

 

Pada paras itu, dagangan ekuiti adalah 21.4% lebih rendah berbanding paras sebelum pandemik sebanyak RM2.22 bilion. 

 

Sebaliknya, kontrak purata harian (ADC) dalam pasaran derivatif meningkat 12.1% tahun ke tahun dan 3% suku ke suku pada suku tersebut. 

 

"Selain itu, unjuran keuntungan bersih Bursa Malaysia pada suku ketiga turut dipengaruhi kenaikan kos operasi sebanyak 3% tahun ke tahun dan kadar cukai sebanyak 28%. 

 

"Pada unjuran untung bersih kami untuk suku ketiga ini, sepatutnya untung bersih bagi tempoh kumulatif sembilan bulan sebanyak RM176.3 juta berada dalam jangkaan kami tetapi di bawah anggaran konsensus Bloomberg," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Malah, CGS-CIMB turut menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) Bursa Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY24 sebanyak 9% hingga 13% setelah mengurangkan unjuran ekuiti ADTV juga dikurangkan sebanyak 13% hingga 19%.

 

Sejajar dengan semakan ADTV itu, ia menjangkakan pasaran modal ekuiti tempatan akan mendatar pada tahun hadapan dan kemudiannya mencatat pertumbuhan 2% pada 2024, lebih rendah berbanding unjuran pertumbuhan 8% setahun bagi 2023-2024 yang dibuat sebelum ini. 

 

"Perubahan unjuran ini mencerminkan sentimen pasaran yang lebih berhati-hati berikutan jangkaan berlakunya kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

 

"Dengan itu, kami turut menyemak turun harga sasaran Bursa Malaysia kepada RM6.60 daripada RM7 sesaham sebelum ini," jelasnya.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Bursa Malaysia memandangkan penurunan 
ADTV telah diambil kira dalam penilaiannya.

 

"Kami percaya dalam senario kes terburuk, harga sahamnya boleh jatuh kepada RM3.40 hingga RM4.73 (susut 24% hingga 45%) jika nisbah harga kepada perusahaan (P/E) jatuh ke paras 11x semasa wabak COVID-19 dan 15.3x semasa krisis kewangan," katanya. - DagangNews.com