KUALA LUMPUR 15 Feb - Inflasi diunjur lebih tinggi tahun ini pada 2.5% berbanding anggaran awal, 2.2% sebelum menyederhana pada separuh kedua 2022, menurut CGS-CIMB nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, firma itu akan menyemak semula unjuran inflasi yang lebih tinggi sekiranya andaian mengenai harga komoditi yang lebih rendah pada separuh kedua tidak menjadi kenyataan, memandangkan unjuran harga komoditi kekal menjadi faktor utama.
Penganalisisnya, Nazmi Idrus berkata, ramalan semasa ini mengambil kira pelarasan harga komoditi secara berterusan termasuk langkah kawalan harga dan tarif elektrik yang lebih tinggi dikenakan terhadap pengguna bukan domestik.
Katanya, terdapat risiko yang terhad dalam kenaikan inflasi kali ini, meskipun, tekanan akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang kerana faktor asas kekal memainkan peranan sepenuhnya.
Malah, tambahnya, penurunan tekanan harga yang ketara pada asas global mungkin tidak dapat dilihat dalam tempoh terdekat.
"Beberapa pelonggaran isu rantaian bekalan dan kos pengangkutan yang lebih rendah seterusnya akan memberikan sedikit pengimbangan tetapi kami tidak menjangkakan banyak kelegaan.
"Namun, pelbagai langkah yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, dapat membantu mengurangkan ketidaktentuan harga global daripada mempengaruhi pasaran domestik.
"Kerajaan diketahui cukup berkesan dalam menguruskan tekanan harga dengan langkah-langkah daripada kawalan harga hinggalah kepada peruntukan subsidi yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

Antara langkah kawalan harga yang dilaksanakan kerajaan, termasuklah Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan mulai 29 Januari hingga 4 Februari 2022 membabitkan 18 jenis sumber makanan termasuk ayam, telur dan sayur-sayuran serta mengekalkan Skim Harga Maksimum Keluar Malaysia mulai 5 Februari hingga 5 Jun 2022.
Kerajaan juga mengurangkan harga siling bagi jualan keseluruhan ayam kepada RM8.90 sekilogram berbanding RM9.10 sekilogram sebelum itu dan membenarkan semua pemegang permit import (AP) mengimport keseluruhan ayam (sebelum ini hanya membabitkan bahagian-bahagian tertentu).
Pada masa sama, kerajaan turut membuka AP kepada pasar raya untuk mengimport ayam dan memberi subsidi kepada pengeluar ayam untuk menurunkan harga jualan ladang.
Bagaimanapun, menurut Nazmi, langkah kerajaan untuk menangani kenaikan harga dalam makanan segar pastinya akan mengurangkan sebahagian daripada tekanan harga, tetapi faktor asas tetap sama.
Katanya, terdapat beberapa perkembangan yang harus dipertimbangkan dalam menentukan hala tuju inflasi dalam tempoh satu atau 2 suku akan datang.
Antaranya, termasuklah kenaikan tarif elektrik kepada pengguna bukan domestik daripada rebat 2.00 sen/kwH pada Julai 2021 kepada surcaj 3.70 sen/kwH mulai Februari hingga Jun 2022.
"Harga minyak mentah juga terus meningkat, yang mana setakat pertengahan Februari menyaksikan harga spot Brent diniagakan melebihi AS$90 setong berbanding purata AS$72 pada tahun lalu.
"Pada masa sama, kos import masih kekal tinggi, khususnya kos baja dan racun perosak yang tinggi, yang merupakan input utama untuk sayur-sayuran segar, kekal di tengah-tengah permintaan tinggi daripada segmen pertanian lain.
"Begitu juga, tekanan harga dilihat pada ayam daging dan telur, kerana kos makanan haiwan meningkat berikutan kenaikan harga jagung import dan tepung soya," jelasnya.

Beliau berkata, susulan tekanan harga yang berterusan apabila kerajaan mengambil langkah untuk mengekang kenaikan harga secara berlebihan, langkah ini mungkin menjejaskan margin keuntungan pengeluar.
Keadaan ini, katanya, sudah pun menimpa pengeluar berskala kecil yang mempunyai pengaruh terhad ke atas harga input mereka dan tidak dapat menyesuaikan rantaian bekalan.
"Apabila ini berterusan, kami mungkin melihat berlaku penurunan margin yang boleh memberi kesan kepada gaji pekerja dan pelaburan perniagaan," katanya.
Nazmi berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) bagaimanapun dijangka terus kekal fokus terhadap pertumbuhan dalam negeri terutama dari segi penggunaan swasta dan pasaran buruh.
"Secara keseluruhan, bertentangan dengan persepsi semasa, kami melihat sedikit risiko inflasi mengganggu pemulihan ekonomi yang dialami sekarang.
"Sehubungan itu, kami mengekalkan jangkaan bahawa BNM akan menaikkan kadar dasar semalam (OPR) sebanyak 2 kali dengan 25 mata asas pada separuh kedua 2022," tambahnya. - DagangNews.com








