KUALA LUMPUR 22 Sept - CGS-CIMB Research menyemak turun harga sasaran KESM Industries Bhd. kepada RM7.30 daripada RM7.80 dengan mengekalkan saranan 'pegang' berikutan kerugian yang dialaminya selama tiga suku berturut-turut.
Bagi suku berakhir 31 Julai 2022, kumpulan merekodkan kerugian bersih RM2.5 juta, lebih tiga kali ganda berbanding kerugian bersih RM654,000 yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan juga susut 4.1% kepada RM55.66 juta daripada RM58.05 juta apabila KESM mengurangkan perniagaan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), ditambah dengan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk pembaikan, penyelenggaraan dan utiliti.
Untuk tahun kewangan penuh berakhir 31 Julai 2022 (FY22), untung bersih merosot sehingga 77% kepada RM1.67 juta daripada RM7.34 juta bagi FY21, dengan pendapatan susut 0.6% kepada RM246.74 juta daripada RM248.26 juta.
Menurut CGS-CIMB dalam nota kajian hari ini, prestasi kewangan KESM bagi FY22 tersasar daripada jangkaannya memandangkan ia masih kekal mencatat kerugian berikutan kerugian bersih teras yang terus melebar pada suku keempat.
Katanya, pendapatan bagi FY22 mencatat sedikit penurunan terutamanya disebabkan penurunan jualan EMS, tetapi sebahagiannya diimbangi oleh jualan pengujian dan 'burn-in' yang lebih tinggi.
Selain itu, kumpulan juga menanggung kos kakitangan yang lebih tinggi disebabkan pelarasan semula sumber untuk perkhidmatan pengujian dan 'burn-in' serta pampasan pemberhentian berikutan pengurangan bahagian EMS.
"Namun, kami optimis secara berhati-hati untuk KESM kembali kepada keuntungan pada FY23 memandangkan keadaan rantaian bekalan semikonduktor automotif yang semakin bertambah baik.
"Malah, kumpulan juga kekal yakin bahawa permintaan untuk perkhidmatan 'burn-in' dan ujian untuk cip automotif yang memasuki sistem infotainment, rangkaian kuasa dan pemanduan termaju akan terus meningkat, dipacu oleh peralihan industri automotif kepada kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan autonomi (AV)," jelasnya.
Bagaimanapun, firma itu mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) KESM bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 61% dan 51%. - DagangNews.com







