KUALA LUMPUR 14 Dis - CGS-CIMB Research mengunjurkan harga minyak sawit mentah akan berlegar pada purata sekitar RM3,800 satu tan metrik pada 2023, lebih rendah berbanding anggaran RM5,122 satu tan metrik bagi tahun ini.
Harga komoditi itu bagaimanapun dijangka kekal kukuh sekitar RM3,800 hingga RM5,000 pada suku pertama tahun hadapan sebelum kembali menyederhana pada suku berikutnya.
Menurutnya, tahun 2023 akan menjadi tempoh mencabar kepada syarikat perladangan ekoran kemerosotan harga minyak sawit mentah.
Firma itu mendapati beberapa faktor akan mempengaruhi harga minyak sawit terutamanya kebimbangan risiko lebihan bekalan disebabkan masalah kemarau di Argentina yang dianggap terburuk dalam tempoh 50 tahun, boleh menyebabkan kerugian kepada tanaman kacang soya.
Ia juga dipengaruhi keadaan cuaca yang menyaksikan fenomena La Nina menyebabkan hujan lebat lebih daripada biasa di kawasan utama tanaman kelapa sawit memasuki tahun ketiga berturut-turut manakala perang berterusan dengan Rusia menyebabkan pengeluaran biji bunga matahari di Ukraine lebih rendah.
Keduanya, adalah permintaan biodiesel yang semakin meningkat memandangkan Indonesia merancang untuk menaikkan mandat kepada B35 dan Amerika Syarikat (AS) pula menyaksikan kapasiti diesel boleh diperbaharui.
Bagi faktor ketiga pula, CGS-CIMB mendapati peningkatan import minyak boleh dimakan dari China apabila negara itu melonggarkan sekatan terhadap COVID-19 turut mempengaruhi pergerakan harga minyak sawit pada tahun hadapan.
"Sementara itu, suku pertama kebiasaannya mencatatkan pengeluaran minyak sawit yang rendah dan kami menjangkakan kekurangan pekerja asing dapat diselesaikan hanya pada separuh kedua 2023.
"Data daripada 10 ahli utama Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) mendedahkan bahawa bilangan pekerja asing yang diluluskan hanya memenuhi 19% daripada jumlah yang diperlukan oleh syarikat perladangan.
"Oleh itu, kami percaya harga minyak sawit mentah akan mula merosot mulai suku kedua 2023 dan seterusnya apabila bekalan semakin pulih dengan kemasukan lebih ramai pekerja asing manakala pertumbuhan global yang lebih perlahan boleh mengekang permintaan," katanya dalam nota kajian hari ini.

Baca : Stok minyak sawit Malaysia susut pada 4.98% pada November, kali pertama dalam tempoh 6 bulan
Malah, firma itu juga berpendapat, kemasukan semula pekerja asing secara berperingkat-peringkat akan membantu meningkatkan semula hasil buah tandan segar.
"Ini sebahagiannya dapat mengimbangi kesan daripada harga minyak sawit mentah yang lebih rendah dan kenaikan kos (gaji minimum, kemungkinan levei pekerja asing dinaikkan dan kos baja) yang dihadapi syarikat perladangan Malaysia," jelasnya.
CGS-CIMB mengunjurkan stok minyak sawit mentah akan terus menurun sebanyak 13.6% bulan ke bulan kepada 1.98 juta tan metrik menjelang akhir Disember 2022.
Unjuran itu berdasarkan kepada data yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan stok minyak sawit Malaysia pada akhir November jatuh buat kali pertama dalam tempoh enam bulan apabila pengeluaran merosot di tengah-tengah sedikit peningkatan dalam pasaran eksport.
Paras stok minyak sawit yang susut 4.98% daripada paras tertinggi tiga tahun pada Oktober sebanyak 2.29 juta tan metrik, adalah 5.4% lebih rendah daripada unjuran firma disebabkan pengeluaran dan import yang lebih rendah daripada jangkaan.
"Inventori minyak sawit yang lebih rendah dan juga laporan Amspec Agri menunjukkan eksport minyak sawit dalam tempoh 10 hari pada Disember meningkat 14.3% bulan ke bulan, adalah positif kepada harga minyak sawit mentah dalam tempoh terdekat," katanya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan pilihan utamanya ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd., Hap Seng Plantations Bhd. dan Ta Ann Holdings Bhd. - DagangNews.com








