CGS-CIMB semak turun TP Cypark Resources kepada 85 sen dengan saranan 'pegang' | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB semak turun TP Cypark Resources kepada 85 sen dengan saranan 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 April - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Cypark Resources Bhd. dengan harga sasaran (TP) dinilai lebih rendah pada 85 sen berbanding 96 sen sebelum ini. 

 

Penilaian TP itu berdasarkan kepada harga kepada pendapatan (PE) yang lebih rendah sebanyak 14x (daripada 15x sebelum ini) bagi perniagaan bukan tenaga boleh diperbaharui (RE) disebabkan persaingan yang sengit dan margin dijangka lemah berikitan kos bahan mentah lebih tinggi.

 

Penganalisisnya, Ngo Siew Teng menjangkakan loji sisa kepada tenaga (WTE) berkapasiti 20 megawatt (MW) di Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan akan mencapai tarikh operasi komersial (COD) dalam tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2022 (FY22) berikutan pembukaan semula ekonomi. 

 

Ini kerana katanya, COD loji ini sudah beberapa kali ditangguhkan ekoran kesukaran pakar luar memasuki negara bagi menjalankan ujian yang diperlukan disebabkan sekatan pergerakan.

 

"Oleh itu, kami masih belum mengambil kira margin yang lebih rendah dalam ramalan kami sementara menunggu panduan daripada pengurusan.

 

"Buat masa ini, kami mengekalkan saranan 'pegang' setelah mengambil kira penangguhan seterusnya bagi COD loji dan kemungkinan pelupusan aset bagi membiayai projek akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Baca : Cypark Resources catat untung RM15.5 juta pada Q1, optimis dengan prospek RE

 


Selain itu, Cypark turut menyertai 2 tender WTE di Bukit Payong, Johor dan Sungai Udang, Melaka masing-masing membabitkan kerjasama Kerajaan Negeri Johor dan Melaka. 

 

Projek loji berskala besar 3 (LSS3) di Terengganu telah memulakan pembinaan dan sepatutnya mencapai COD menjelang FY22. Pada masa sama, COD bagi loji LSS2 juga dijangka dapat dicapai dalam FY22. 

 

"Di samping itu, kumpulan juga menyasarkan untuk memperoleh beberapa kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) daripada syarikat yang memenangi bidaan LSS4," tambahnya. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Cypark merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM15.5 juta bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2022, meningkat 4.2% daripada RM14.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Peningkatan ini terutamanya disebabkan pengiktirafan yang lebih rendah bagi perbelanjaan cukai tertangguh pada suku semasa.

 

Bagi tempoh itu, kumpulan merekodkan pendapatan sebanyak RM77.2 juta, hanya meningkat 0.9% daripada RM76.5 juta bagi tempoh sama 2021, terutamanya disumbangkan menerusi segmen RE. 

 

Setakat 9.15 pagi ini, harga sahamnya susut 1 sen atau 1.23% kepada 80.5 sen dengan 237,900 saham diniagakan. -DagangNews.com