CGS-CIMB Research jangka kos operasi Yinson meningkat dengan pertambahan pekerja untuk projek baharu pada 4QCY22F | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB Research jangka kos operasi Yinson meningkat dengan pertambahan pekerja untuk projek baharu pada 4QCY22F

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mac - CGS-CIMB Research menjangkakan kos operasi Yinson Holdings Berhad terus meningkat pada tahun hadapan dengan pasukan pelaksana projek kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FSPO) mencari lebih ramai pekerja baharu untuk kontrak baharu pada 4QCY22F.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan kos itu juga adalah disebabkan kos berterusan akibat pembiayaan Anna Nery selain pelaburan berterusan dalam projek tenaga yang boleh diperbaharui (RE) dan projek FSPO bagi Atlanta dan Maria Quiteria (MQ).

 

"Bagaimanapun, Yinson boleh menarik nafas lega apabila projek Atlanta dan MQ akan siap melepasi kadar penyelesaian sebanyak 20% sebelum 2QFY23F (Mei-Jul 2022F) sekali gus membolehkan mereka mendapatkan keuntungan daripada kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pengangkutan dan pemasangan dan perkhidmatan penyambungan telaga dan pengoperasian (EPCIC).

 

"Pada masa sama kami menjangkakan projek Anna Nery akan bermula pada 4QCY23F selain melihat, kos pelaburan akan melebihi daripada jangkaan untuk masa terdekat ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras Yinson mencatatkan penurunan sejak lima suku sebelum ini namun pelaksaan projek FPSO Abigail-Joseph pada Oktober 2020  menyumbang kepada asas keuntungan mereka.

 

Yinson juga berjaya mengurangkan hutang bagi membiayai projek berkenaan dan hutang sebanyak AS$670 juta (RM2.81 bilion) berjaya dikurangkan sepenuhnya pada 31 Jan 2022 menerusi prinsip pajakan kewangan. 

 

"Sementara itu, kos bagi projek RE Yinson melibatkan lebih 3,500 MW dan 1,500 MW berada di peringkat 'pembangunan dan persetujuan', berbanding 460 MW di bawah kontrak pada masa ini," katanya.

 

Berdasarkan kepada laporan, keuntungan kumpulan pada 4QFY22 terjejas akibat kerugian pelaburan terhadap produk berjumlah RM29 juta tetapi Yinson berjaya menutup kerugian itu dengan perlindungan insurans.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM7.91. - DagangNews.com