CGS-CIMB positif terhadap langkah Power Root memasuki pasaran Arab Saudi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB positif terhadap langkah Power Root memasuki pasaran Arab Saudi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mei - Langkah strategik Power Root Berhad memperluaskan pasaran produk minuman ke Arab Saudi merupakan perkembangan yang positif untuk jualan eksportnya.

 

CGS-CIMB positif dengan berita tersebut memandangkan ia boleh memberi petanda baik untuk jualan eksport Power Root dengan memanfaatkan rangkaian pengedaran meluas Abbar & Sons Food Co Ltd (Abbar Foods).

 

Pada 8 Mei 2023, Power Root telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pengedar Arab Saudi, Abbar Foods untuk mengedar serbuk minuman pracampur Alicafe dan Alitea.

 

 

Baca: Power Root meterai MoU eksklusif dengan Abbar Foods untuk edar serbuk minuman di Arab Saudi

 

 

Firma penyelidikan itu berkata gabungan kedua-dua produk tersebut menyumbang 57% daripada jumlah jualan kumpulan pada tahun kewangan 2022 (FY22).

 

Menurut firma itu, pasaran Timur Tengah telah menjadi penyumbang pendapatan utama kumpulan yang telah menyumbang 32%, 28.4% dan 30.5% daripada jumlah jualan pada FY21, FY22 dan sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23).

 

“Walaupun majoriti jualan masih diperoleh daripada operasinya di Malaysia, kami melihat peningkatan sumbangan daripada jualan eksportnya pada masa hadapan, terutamanya dari pasaran Timur Tengah.

 

“Kami percaya ini akan didorong oleh potensi pulangan ketibaan pelancong dan profil jenamanya yang semakin meningkat di rantau ini, yang boleh diperkukuh lagi dengan kerjasama dengan Abbar Foods di Arab Saudi, mengukuhkan rangkaian pengedarannya di Timur Tengah,” ujar firma tersebut dalam nota hari ini.

 

Firma tersebut menganggarkan bahawa setiap anjakan 1% dalam hasil akan meningkatkan anggaran pendapatan FY24-25 sebanyak kira-kira 3 hingga 4%.

 

“Kami menjangkakan suku keempat berakhir 31 Mac 2023 (4QFY23F) yang lebih kukuh pada asas suku ke suku (QoQ).

 

Ini didorong terutamanya oleh jualan perayaan utama khususnya di Malaysia, kenaikan harga yang berterusan dan pemulihan dalam permintaan jualan daripada pasaran eksportnya iaitu Timur Tengah,” tambahnya.

 

Firma itu juga menjangkakan margin bertambah baik secara berurutan pada kenaikan harga dan skala ekonomi yang lebih besar disebabkan penggunaan lebih tinggi.

 

Firma itu mengulangi saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.68 didorong profil pertumbuhan pendapatannya yang teguh dengan EPS CAGR tiga tahun sebanyak 29.1% (FY22-25F) dan hasil dividen 5% yang menarik. -DagangNews.com