CGS-CIMB positif dengan pengecualian cukai FSI, kurangkan risiko pendapatan syarikat  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB positif dengan pengecualian cukai FSI, kurangkan risiko pendapatan syarikat 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Jan - CGS-CIMB positif terhadap keputusan kerajaan melanjutkan pengecualian cukai ke atas pendapatan dividen bagi sumber asing sehingga 31 Disember 2026. 

 

Firma itu melihat, langkah tersebut dapat mengurangkan risiko pendapatan bagi syarikat yang mempunyai pelaburan luar negara yang besar. 

 

"Kami sebelum ini bimbang dengan keputusan awal kerajaan untuk memansuhkan pengecualian cukai daripada sumber pendapatan asing (FSI) bagi korporat dalam Bajet 2022 kerana perubahan ini akan memberi kesan kekal terhadap aliran pendapatan masa depan daripada pelaburan luar negara

 

"Sehubungan itu, dalam penilaian awal, langkah ini adalah positif kepada Sime Darby Bhd., Sime Darby Plantations Bhd., PPB Group Bhd. dan Kuala Lumpur Kepong Bhd.," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Pada 30 Disember lalu, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mengecualikan FSI bagi individu dan dividen pendapatan untuk korporat selama 5 tahun mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026.

 

Selain itu, kerajaan turut mengenakan had duti setem lebih tinggi ke atas transaksi saham di Malaysia sehingga 31 Disember 2026, yang akan menurunkan lagi kos urus niaga bagi dagangan saham-saham.

 

Dalam pembentangan Bajet 2022, kerajaan telah mengumumkan cadangan langkah untuk mengenakan cukai ke atas pendapatan pemastautin yang diterima dari luar negara mulai 1 Januari 2022.

 

CGS-CIMB berkata, keputusan MOF untuk mengenakan had lebih tinggi ke atas duti setem bagi urus niaga saham di Malaysia sehingga 31 Disember 2026 berbanding cadangan dalam Bajet 2022 sebelum ini untuk memansuhkan had RM200 ke atas duti setem adalah positif untuk pasaran saham dan mengurangkan kos transaksi bagi dagangan saham. 

 

"Bagaimanapun, ia masih tinggi berbanding kos transaksi pada 2021 sebanyak 0.19%, berdasarkan anggaran kami apabila had duti setem sebanyak RM200. 

 

"Tetapi, ini adalah positif kepada pembrokeran saham dan Bursa Malaysia kerana had duti setem yang lebih tinggi bagi tempoh 5 tahun akan datang akan meningkatkan daya saing Malaysia berbanding pasaran MIST (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand) yang lain," jelasnya. 

 

Firma itu mengunjurkan indeks utama FBM KLCI akan berlegar pada 1,602 mata menjelang akhir tahun ini dengan saham pilihan utamanya adalah Inari Amerton Bhd., Hong Leong Bank Bhd. dan QL Resources Bhd. - DagangNews.com