CGS-CIMB : Pelabur suarakan kebimbangan terhadap keupayaan Astro kekalkan komitmen dividen | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB : Pelabur suarakan kebimbangan terhadap keupayaan Astro kekalkan komitmen dividen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Okt - CGS-CIMB Research mendapati beberapa ahli komuniti pelaburan menyuarakan kebimbangan terhadap kemampanan dividen Astro Malaysia Holdings Bhd. dan keupayaannya untuk mengekalkan komitmen mengagihkan sekurang-kurangnya 75% daripada keuntungan bersih tahunan yang dilaporkan kepada para pemegang saham. 

 

Penganalisisnya, Kamarul Anwar Kamaruddin berkata, ia memandangkan Astro mempunyai banyak komitmen kewangan dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Menurutnya, dalam beberapa tahun pertama selepas Astro disenaraikan semula pada Oktober 2012, kos kandungannya dibahagikan hampir sama antara tiga kategori utama iaitu kandungan tempatan, kepelbagaian antarabangsa dan sukan, sebaliknya hanya kategori kandungan tempatan diurus niaga dalam ringgit.

 

Katanya, situasi itu meletakkan bahagian kandungan yang didenominasikan dalam dolar AS sekitar 66% ketika itu dan boleh melonjak setinggi 70% pada tahun-tahun tertentu.

 

"Namun, walaupun nilai ringgit berbanding dolar AS telah jatuh lebih 50% sejak penyenaraiannya semula, kos kandungan Astro tidak meningkat.

 

"Sekiranya terdapat hikmah terselindung, ia membenarkan Astro untuk merundingkan yuran yang lebih rendah untuk hak penyiaran, kerana program ini tidak boleh menghentikan langganan untuk mengubah pemikiran mereka," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bahagian yuran hak dalam denominasi dolar AS akibatnya jatuh kepada kira-kira 50% daripada kos kandungan agregatnya.

 

Bagi sesetengah perjanjian, Astro mempunyai klausa yang menetapkan pemilik kandungan menanggung kerugian pertukaran jika ringgit jatuh ke tahap tertentu.

 

Astro juga telah menurunkan pendedahan kos kandungannya kepada dolar AS daripada setinggi 70%, kepada 50% pada masa ini dan turut mengitar keluar kandungannya jika perlu.

 

"Andaian kos kandungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2023 (FY23) hingga FY25 kami juga berada pada tahap tertinggi dengan nisbah hasil kos kepada TV ialah 35% hingga 37%, yang telah dipatuhi oleh kumpulan selama ini, pada 37% hingga 38%, setelah mengambil kira dolar AS yang lebih kukuh," jelasnya.

 

Kamarul Anwar juga berkata, harga saham yang semakin terhakis sepanjang bulan lalu lebih menggambarkan kesan kenaikan kadar faedah dan ringgit yang lemah. 

 

"Kami juga mengurangkan unjuran pendapatan sesaham Astro bagi FY24 hingga FY25 antara 1% hingga 9% memandangkan FCF Astro mungkin tidak terlalu tegang dalam persekitaran semasa ini," katanya.

 

Secara keseluruhan, beliau mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Astro dengan harga sasaran tidak berubah pada 88 sen.

 

Setakat 9.59 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 0.75% kepada 67 sen dengan 915,800 saham diniagakan. - DagangNews.com