KUALA LUMPUR 13 Jan - CGS-CIMB Research menyemak naik harga sasaran Westports Holdings Bhd. kepada RM3.57 daripada RM3.40 sesaham dengan mengekalkan saranan 'pegang'.
Malah, firma itu turut menaikkan unjuran pertumbuhan volum kontena bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) kepada 6.6% daripada 3.8% sebelum ini memandangkan pembukaan semula ekonomi China akan merangsang volum di pelabuhan.
Pertumbuhan kukuh itu sebahagiannya disebabkan kesan asas tahun yang menggalakkan sejak banjir Lembah Klang pada akhir Disember 2021 telah menjejaskan volum pelabuhan pada suku keempat 2021.
Lebih penting lagi, menurutnya, Westports meraih manfaat daripada pertumbuhan volum yang kukuh pada suku ketiga 2022 dan seterusnya.
"Ia mendapat kelebihan daripada dua penghantaran yang kembali semula pada pertengahan tahun ini dan peningkatan volum di hab pengedaran serantau IKEA serta volum yang lebih tinggi bagi import dan eksport sisa buangan kertas yang berdekatan dengan pusat kitar semula yang diletakkan berhampiran," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut CGS-CIMB, prospek volum bagi FY23 dijangka lebih baik memandangkan volum pintu masuk akan terus berkembang daripada kesan setahun penuh, dan juga didorong pembukaan semula ekonomi China serta kesan asas yang lemah pada FY22.
Bagi FY23, firma itu meningkatkan ramalan volum pintu masuk kepada pertumbuhan 9% (daripada 5%) dan menaikkan unjuran unjuran volum kepada pertumbuhan 5% (daripada 3%).
"Ini menjadikan pertumbuhan volum kontena keseluruhan kepada 6.6% (daripada 3.8%, melebihi jangkaan Westports sebanyak 0 hingga 5%)," jelasnya.
Ia menegaskan saranan 'pegang' dikekalkan memandangkan harga saham kembali yang pulih sejak tiga bulan lalu menunjukkan perkembangan yang positif. -DagangNews.com








