KUALA LUMPUR 7 April - CGS-CIMB Research memulakan liputan terhadap Optimax Holdings Bhd. dengan saranan 'tambah' pada harga sasaran (TP) RM1.47 sesaham.
Firma itu juga melihat Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 (FY21)-FY24 yang kukuh terutamanya dipacu pelan pengembangan rangkaian dan penambahbaikan hasil, yang akan menjadi pemangkin kepada penilaian semula.
"Prospek pertumbuhannya juga akan disokong oleh penduduk yang semakin berusia, peningkatan kekayaan/penembusan insurans dan persaingan yang mesra," katanya dalam nota kajian hari ini.
Optimax yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada Ogos 2020 dengan 30 sen sesaham, kini mempunyai nilai permodalan pasaran berjumlah RM329 juta.
Ia merupakan penyedia perkhidmatan pakar mata swasta terbesar yang tersenarai di Malaysia pada 2020, dengan 13 pusat di seluruh negara setakat ini.
Kumpulan terlibat dalam rawatan penyakit/gangguan mata (terutamanya katarak), pembedahan refraktif/okuloplastik, pemeriksaan mata, pemasaran produk makanan dan vaksin COVID-19 (sejak Mei 2021).
CGS-CIMB menjangkakan Optimax akan merekodkan CAGR EPS 3 tahun yang kukuh pada 14.7% dipacu pertumbuhan katarak/refraktif dan peningkatan hasil apabila menggunakan prosedur generasi baharu.
Selain itu, ia juga didorong menerusi sumbangan hasil yang ketara daripada pusat baharu dan kadar cukai dinormalisasikan.
"Ini sebahagiannya diimbangi oleh pengurangan hasil vaksin COVID-19 kepada sifar menjelang FY23," katanya.
Firma itu turut menganggarkan perbelanjaan modal (capex) sekitar RM11 hingga RM12 juta setahun bagi FY22-FY24 bagi mengembangkan rangkaiannya dalam usaha memacu pertumbuhan masa depan.
Setakat 9.52 pagi ini, harga saham Optimax menokok 4 sen atau 3.28% kepada RM1.26 dengan 528,600 saham diniagakan. - DagangNews.com








