CGS-CIMB kekal 'underweight' terhadap sektor sarung tangan getah dengan Top Glove, Supermax jadi pilihan 'jual' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB kekal 'underweight' terhadap sektor sarung tangan getah dengan Top Glove, Supermax jadi pilihan 'jual'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Dis - Syarikat pengeluar sarung tangan getah dijangka merekodkan prestasi yang lebih lemah pada 2023 ekoran penurunan berterusan harga jualan purata (ASP) selain volum jualan masih kekal rendah.

 

Malah, CGS-CIMB Research turut menjangkakan kebanyakan syarikat tersebut akan mengalami kerugian dalam satu atau dua suku akan datang, sebelum kembali mencatat untung pada suku kedua 2023 dan seterusnya.

 

Penganalisisnya, Walter Aw berkata, dinamik industri dalam sektor sarung tangan kekal didorong bekalan, dengan permintaan lemah dan kapasiti pengeluaran yang ketara semasa kemuncak pandemik COVID-19.

 

Menurutnya, situasi lebihan bekalan akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu hingga dua tahun untuk reda sebelum pendapatan kembali ke tahap sebelum pandemik meskipun pengeluar sarung tangan getah di seluruh dunia telah memperlahankan pelan pengembangan kapasiti mereka dengan ketara.

 

"Berdasarkan semakan kami baru-baru ini, syarikat pengeluar masih berdepan permintaan lemah daripada pelanggan (dengan kadar penggunaan sekitar 40 hingga 55% kerana pembeli menunggu ASP kembali stabil dan kapasiti meningkat dengan ketara dalam sektor ini.

 

"Kami berpendapat kenaikan ASP akan sukar dilaksanakan memandangkan dinamik bekalan industri ketika ini," katanya dalam laporan strategi bagi prospek 2023.

 

Top Glove Corp Bhd. mencatatkan kerugian bersih RM158 juta pada suku pertama berakhir 30 November 2022 berbanding keuntungan bersih RM202.4 juta pada suku sama setahun lalu dengan pendapatan juga merosot 61% kepada RM632.5 juta.

 

Prestasi lemah itu disebabkan volum jualan mencatatkan pengurangan kira-kira 48% tahun ke tahun, akibat cabaran yang berterusan.

 

Keuntungan bersih Supermax Corp. Bhd pada suku pertama berakhir 30 September 2022 juga merosot kepada RM5.71 juta daripada RM638.52 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya berikutan purata harga jualan (ASP) yang kekal rendah dalam menghadapi persaingan yang sengit.

 

Sementara itu, untung bersih Hartalega Holdings Bhd. juga merosot kepada RM28.34 juta pada suku kewangan kedua berakhir 30 September 2022, berbanding RM914 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.

 

Kossan Rubber Industries Bhd. turut merekodkan prestasi kurang cemerlang dengan untung bersihnya pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 susut kepada RM23.26 juta daripada RM528.2 juta.

 

Susulan prestasi lemah syarikat pengeluar sarung tangan getah di bawah liputannya, CGS-CIMB mengulangi pandangan 'underweight' dengan Top Glove dan Supermax kekal pilihan jual bagi sektor itu.

 

"Kami mempunyai saranan 'pegang' terhadap Kossan dan Hartalega, tetapi mungkin terdapat risiko penurunan selanjutnya pada ramalan pendapatan kami jika ASP (pada masa ini pada AS$21 setiap 1,000 keping) tidak pulih.

 

"Tetapi kami memberi saranan 'kurang' terhadap Supermax dan Top Glove kerana kami berpendapat pendapatan untuk kedua-dua syarikat masih belum turun pada asas suku ke suku (dengan kemungkinan akan mencatatkan kerugian pada suku akan datang)," jelasnya. - DagangNews.com