CGS-CIMB jangka untung bersih Bursa Malaysia dalam 2QFY23 lebih kurang seperti 1QFY23 didorong pemulihan ADTV ekuiti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB jangka untung bersih Bursa Malaysia dalam 2QFY23 lebih kurang seperti 1QFY23 didorong pemulihan ADTV ekuiti

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei - Keuntungan bersih Bursa Malaysia pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) dijangka hampir atau di bawah sedikit daripada RM56.2 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23), kata CGS-CIMB Research.

 

Firma penyelidikan itu meramalkan sedemikian berdasarkan jangkaan pemulihan suku ke suku (QoQ) dalam nilai purata dagangan harian (ADTV) ekuitinya sebanyak RM2 bilion hingga RM2.1 bilion pada 2QFY23.

 

Menurut firma itu, pendapatan kumpulan menurun 5.3% tahun ke tahun (YoY) pada 1QFY23 akibat kos operasi yang meningkat yang turut menjejas ADTV ekuiti yang menyusut 17.5%.

 

Namun, firma itu positif terhadap pemulihan ADTV yang telah meningkat dalam dua suku yang lepas daripada RM1.62 bilion pada suku ketiga 2022 kepada RM2.13 bilion pada 1QFY23, yang menghampiri unjuran firma sebanyak RM2.17 bilion bagi FY23.

 

“Kami mengurangkan unjuran keuntungan bersih sebanyak 1.5% untuk FY23 dan 1.3% bagi tahun kewangan 2024 hingga 2025 (FY24-25) memandangkan andaiannya untuk kadar cukai dinaikkan daripada 24.8% kepada 26% pada FY23 dan daripada 24% kepada 25% dalam FY24-25,” katanya dalam nota hari ini.

 

Mengulas lanjut berkenaan laporan kewangan 1QFY23 baru-baru ini, firma itu berkata untung bersih adalah kurang sedikit daripada jangkaannya iaitu mencakup 23.5% daripada ramalan tahun penuh disebabkan kadar cukai yang lebih tinggi.

 

Kadar cukai pada 1QFY23 adalah 26.2% berbanding unjuran 24.8% firma tersebut untuk FY23.

 

Bagaimanapun, sebahagian besar pendapatan 1QFY34 berada dalam jangkaan pasaran pada 24% daripada anggaran konsensus Bloomberg.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM6.54 sesaham daripada RM6.60.

 

Saranan itu disebabkan FY24 P/E sebanyak 20.7 kali kumpulan tersebut adalah di bawah purata sejarah lima tahun, disokong oleh hasil dividen FY23 sebanyak 4.2%. -DagangNews.com