CGS-CIMB jangka kilang Supermax di AS alami kerugian pada fasa awal operasi | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka kilang Supermax di AS alami kerugian pada fasa awal operasi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mac - CGS-CIMB menjangkakan Supermax Corporation Berhad akan mengalami kerugian pada fasa awal pembukaan kilang mereka di Amerika Syarikat (AS) dan ia akan kekal sehingga kumpulan itu mencapai operasi pada skala ekonomi yang ditetapkan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain daripada kos pembinaan yang tinggi (sekurang-kurangnya 100% lebih mahal berbanding kilang sama di Malaysia), kos pengeluaran di AS juga adalah tinggi akibat kos pengurusan bahan buangan dan tenaga pekerja sangat tinggi.

 

"Kami juga positif dengan pembinaan kilang ini yang dilihat akan siap mengikut masa serta tiada pertambahan kos dan tambahan kepada insentif cukai, kilang itu akan menjadikan mereka lebih dengan dengan pelanggan mereka di negara itu membuatkan kos penghantaraan lebih murah dan cepat.

 

"Pada masa sama, kami menjangkakan kilang itu tidak akan menghadapi isu pematuhan sosial yang akan menjejaskan kemudahan sedia ada di Malaysia," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, fasa pertama kilang itu menyaksikan Supermax telah memperuntukkan perbelanjaan modal AS$350 juta (RM1.5 bilion) dan ia dilengkapi dengan teknologi terknini dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan robotik bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

 

"Kami menjangkakan Supermax tidak akan berdepan masalah untuk membiayai pembinaan fasa pertama kilang mereka selepas mengambil kira pegangan tunai yang ada pada penghujung 2QFY22.

 

"Kami percaya, pembinaan fasa berikutnya adalah lebih murah dengan jangkaan antara RM500 juta ke RM600 juta untuk setiap fasa," katanya.

 

Firma penyelidikan itu kekal dengan unjuran pendapatan sesaham (EPS) mereka bagi FY22F-24F namun perubahan akan dimaklumkan selepas mengambil kira insentif cukai, kemas kini kemajuan dan pentauliahan kilang baharu itu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'kurang' untuk saham Supermax dengan harga sasaran (TP) RM0.98," katanya. - DagangNews.com