CGS-CIMB jangka F&N rekor prestasi lebih kukuh pada separuh kedua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB jangka F&N rekor prestasi lebih kukuh pada separuh kedua

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 April - CGS-CIMB menjangkakan Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) akan merekodkan prestasi yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2022 (FY22) dipacu jualan menerusi saluran hotel, restoran dan kafe (HORECA) yang lebih tinggi. 

 

Selain itu, ia juga akan didorong oleh langkah pengawalan kos yang lebih baik dan kenaikan harga pada tempoh berkenaan, menurut penganalisisnya, Walter Aw dalam nota kajian hari ini. 

 

Beliau berkata, F&N menjangkakan harga komoditi yang lebih tinggi pada separuh kedua sebagai kebimbangan utama setelah menyaksikan tambahan kos sebanyak RM200 juta disebabkan harga komoditi yang lebih tinggi pada separuh pertama. 

 

"Bagaimanapun, kumpulan yakin dapat mengurangkan kos input yang lebih tinggi dengan jangkaan pemulihan dalam jualan HORECA (ekoran pemansuhan langkah sekatan pergerakan), ketibaan pelancong di Thailand dan Malaysia daripada pembukaan semula sempadan, serta pelarasan harga selanjutnya (domestik dan eksport).

 

"Di samping itu, syarikat juga akan terus memberi tumpuan untuk memacu kecekapan operasi yang lebih baik melalui lebih banyak penggunaan automasi dan tenaga hijau (solar)," katanya. 

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022, pendapatan F&N meningkat 1.8% kepada RM2.21 bilion, berbanding RM2.18 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Meskipun pendapatan meningkat, kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai yang lebih rendah masing-masing sebanyak RM220.1 juta dan RM186.8 juta pada tempoh dikaji berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Ini terutama disebabkan oleh harga komoditi yang lebih tinggi, kesan banjir dan kerugian pertukaran mata wang asing akibat baht Thai yang lebih lemah.

 

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, kumpulan akan terus memperkasakan pengeluaran bagi meneroka peluang pasaran baharu dan meningkatkan kecekapan operasinya dengan menyediakan perbelanjaan modal berjumlah RM150 juta setakat ini.

 

Ia membabitkan beberapa projek termasuk loji dan gudang pengeluaran air minuman baharu di Kota Kinabalu, Sabah serta kilang susu cecair dan minuman berasaskan tumbuhan di Thailand dan kemudahan di Pulau Indah, Selangor.

 

Menurut Aw, tanpa sebarang kejutan ketika taklimat kewangannya semalam, unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 hingga FY24. 

 

Beliau juga mengulangi saranan 'tambah' dengan harga sasaran pada RM29.80 sesaham.

 

"Meskipun, pelabur masih bimbang dengan harga komoditi yang tinggi, tetapi kami percaya F&N berupaya menangani impak ini dengan jualan yang lebih tinggi terutama pemulihan dalam jualan HORECA (dianggarkan 30% daripada jualan bagi FY19)," jelasnya. - DagangNews.com