CEO Justin Lim luluskan bayaran RM2.5 juta kepada pihak ketiga tanpa makluman tujuan – Sersol | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CEO Justin Lim luluskan bayaran RM2.5 juta kepada pihak ketiga tanpa makluman tujuan – Sersol

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai - Sersol Berhad berkata Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Datuk Justin Lim Hwa Tat, yang kini di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah meluluskan dan mengarahkan lima pembayaran berjumlah RM2.5 juta dibuat kepada pihak ketiga iaitu HGC Legacy Enterprise.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu menyatakan bahawa tujuan pembayaran yang direkodkan sebagai deposit pada April dan Mei, masih belum dimaklumkan kepada lembaga pengarah.

 

Sersol memaklumkan perkara tersebut sebagai respons kepada permintaan Bursa Malaysia untuk butiran tambahan mengenai lawatan pasukan SPRM ke pejabat Sersol pada 26 Jun.

 

 

BACA: Sersol mengaku dihubungi SPRM dan Justin Lim masih CEO syarikat

 

 

"Berdasarkan pengambilan kenyataan dijalankan oleh SPRM, pembayaran yang diluluskan dan diarahkan oleh Justin adalah berhubung lima pembayaran berjumlah RM2.5 juta yang dibuat kepada HGC Legacy Enterprise dan direkodkan sebagai deposit pada April dan Mei 2023 dengan tujuan yang belum dimaklumkan kepada lembaga pengarah.

 

"Pada peringkat ini, nampaknya satu-satunya ahli lembaga yang boleh berhubung dengan Justin ialah bapanya, Datuk Lim Tiong Siang. Tanpa penjelasan Justin dan sementara menunggu syarikat mengambil tindakan lanjut (jika ada), syarikat tidak berada dalam kedudukan untuk menyatakan sama ada pengarah, pemegang saham utama syarikat atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam pembayaran,” katanya.

 

Pada peringkat ini, Sersol berkata syarikat itu tidak berada dalam kedudukan untuk memastikan sama ada Justin adalah sasaran siasatan.

 

Kumpulan itu berkata Justin, yang merupakan pemegang saham utama Sersol, adalah Pengarah Urusannya ketika pembayaran itu dibenarkan.

 

“Potensi kerugian yang dikenal pasti pada masa ini adalah RM2.5 juta sekiranya pembayaran deposit tersebut kepada HGC Legacy Enterprise tidak dapat ditentukan atau dipulihkan untuk sebarang pelaburan atau pembelian aset atau untuk sebarang tujuan pembelian perniagaan.

 

"Memandangkan pembayaran deposit tidak berkaitan dengan mana-mana perniagaan sedia ada, lembaga menjangkakan tiada sebarang kesan operasi ke atas kumpulan Sersol," katanya.

 

Kumpulan itu berkata ia akan memberi kerjasama kepada SPRM dalam penyiasatannya dan sedang dalam proses menyelesaikan cara menangani ketidakhadiran CEO itu di pejabat.

 

"Sementara itu, syarikat menggesa beliau untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan mengutamakan kepentingan syarikat," tambahnya.

 

Pada waktu penulisan, saham Sersol jatuh 0.5 sen atau 4.8% kepada 10 sen memberikannya modaln pasaran sebanyak RM73.1 juta.  - DagangNews.com