KUCHING 4 Jun - Buat julung kalinya, Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) bakal menganjurkan Karnival Digital di Sarawak pada 7 dan 8 Jun 2022 ini.
Karnival yang akan berlangsung di Centexs Kuching, Santubong ini bakal mengetengahkan pelbagai program menarik melalui platform hibrid maya dan fizikal bersempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022.
Antara program yang akan diadakan adalah Simposium Karnival Digital, Community Technical Outreach Program (TOP), Bengkel Teknologi Asas Pembangunan Aplikasi Android, Bengkel Teknologi Imersif Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR), Penyambungan Kabel Fiber Optik (Splicing).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Centexs, Syed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman, program ini dianjurkan bagi menyokong usaha Kerajaan Sarawak dalam memartabatkan penggunaan teknologi digital.
“Karnival ini sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Sarawak termasuk pemain industri bagi mendapat ilmu serta bimbingan secara terus daripada penceramah luar dan tenaga pengajar Centexs yang berpengalaman dalam industri teknologi,” katanya menerusi satu sidang media di sini, baru-baru ini.
Menjelas lanjut berhubung karnival berkenaan, beliau menjangkakan karnival digital yang menjadi tumpuan ramai ialah Simposium Karnival Digital dengan menampilkan tenaga pengajar Centexs dan penceramah luar juga penggiat industri seperti daripada Huawei, Aeon Reality, Keysight Technologies, Bosch, Schlumberger, Microsoft, IBM dan Petrosains.
Dengan penganjuran Karnival Simposium ini jelasnya, akan memberi ilmu pengetahuan dan inspirasi kepada semua rakyat memandangkan ramai rakyat Sarawak mempunyai bakat dan kreativiti yang terpendam dan tidak didedahkan kepada dunia luar.
Beliau mempersoal mengapa anak Sarawak tidak boleh menghasilkan aplikasi digital yang boleh menguntungkan sedangkan aplikasi Grab, Lazada dan Shopee dicipta oleh rakyat Malaysia sendiri.
“Justeru kita di Centexs mahu generasi kita bukan hanya menjadi pengguna sahaja, mereka perlu menjadi pencipta aplikasi digital seperti aplikasi digital kepada tanah, rumah dan sebagainya,” jelasnya.
Pada 7 dan 8 Jun ini juga, Hussein mendedahkan bahawa Centexs akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa agensi kerajaan dan institut Pendidikan termasuk Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Sains Malaysia, Pustaka Negeri Sarawak dan Persatuan Perumahan dan Hartanah Sarawak (Sheda).
Di samping itu, beliau turut memberitahu bahawa Centexs juga akan mengadakan Hari Terbuka Centexs bagi memberi peluang kepada pengunjung merasai dan melihat sendiri teknologi yang terdapat di Centexs untuk tujuan pembelajaran sekali gus menarik minat golongan muda.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar orang ramai agar memanfaatkan peluang ini khususnya untuk datang ke program Hari Terbuka Centexs yang akan diadakan pada 8 Jun ini, menurut Sarawakvoice.com.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Digital Centexs, Dayang Hanani Abang Ibrahim dan Pengurus Besar Centexs, Mohamad Shahren Mohamad Yusri. - DagangNews.com








